PETALING JAYA: Keputusan memenjarakan tertuduh sementara menunggu perbicaraan selesai bukan sahaja menyebabkan penjara sesak, malah tindakan itu tidak wajar memandangkan mereka belum didapati bersalah oleh mahkamah.
Lebih menyedihkan, pesalah tersebut ditempatkan dalam sel bersama banduan yang sedang menjalani hukuman sekali gus seolah-olah mereka sudah pun telah disabitkan bersalah.
Selain itu, kerajaan perlu menanggung kos makan minum RM44 sehari untuk setiap banduan termasuk tertuduh terlibat sekali gus menyebabkan menelan perbelanjaan besar dengan mengambil kira jumlah semua penghuni banduan di 47 penjara dan pusat koreksional seluruh negara.
Langkah memasukkan mereka ke penjara telah menyumbang kesesakan penjara yang kini menampung 72,000 banduan walaupun berkapasiti 62,000 orang, sekali gus menyebabkan kesesakan teruk di kemudahan berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Penempatan dan Pemulihan Penjara (Pemaaf), Mohd. Shahirul Khalid Mohamad berkata, sudah tiba masanya kerajaan melihat semula undang-undang ikat jaminan mahkamah dengan membenarkan tertuduh dibebaskan sementara menunggu kes selesai dibicarakan.
Jelasnya, pertimbangan itu perlu mengambil kira prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ dengan setiap pesalah hanya dikenakan hukuman penjara selepas didapati bersalah.
“Jika memasukkan mereka ke penjara sedangkan tidak mengaku bersalah, seolah-olah menghukum tetapi belum didapati bersalah. Kalau bicara memakan masa dua tahun, maka selama tempoh itu dia meringkuk dalam penjara bersama banduan lain.
“Tidak wajar berbuat demikian kerana ia meninggalkan pelbagai kesan daripada segi mental dalam kehidupan masing-masing. Adalah lebih baik, pesalah itu dibebaskan dan menjalani kehidupan seperti biasa, jika bersalah barulah dipenjarakan,” katanya.
Kelmarin, bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram, dua tahun lalu.
Dia dibebaskan selepas meringkuk selama dua tahun dalam penjara kerana undang-undang sedia ada tidak membenarkan ikat jamin memandangkan pendakwaan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.
Mengulas lanjut, Mohd. Shahirul berkata, pihaknya banyak menerima keluhan daripada waris bahawa anggota keluarga mereka yang dipenjara untuk bertahun-tahun lamanya mengalami tekanan jiwa sehingga sanggup mengaku bersalah walaupun pada mulanya tidak melakukan kesalahan itu.
“Misalnya baru-baru ini, saya ada bertemu dengan seorang tertuduh dan dia cakap sanggup mengaku bersalah kerana tidak sanggup dipenjara lebih dua tahun sementara menunggu perbicaraan selesai.
“Walaupun dia tidak bersalah, namun dia ingin mengaku bagi meringankan hukuman. Jadi ini antara satu contoh bahawa mereka berdepan tekanan perasaan. Mengapa tempatkan mereka ke penjara? Adalah lebih baik dibebaskan dan beri ruang sewajarnya sehingga kes bicara selesai,” katanya.
Mohd. Shahirul justeru itu menggesa kerajaan mengkaji undang-undang yang tidak membenarkan ikat jamin dan menimbang keperluan lain terhadap pesalah yang tidak mampu bayaran ikat jamin.
Namun begitu kata beliau, langkah mewajibkan tertuduh melaporkan diri kepada balai polis dilihat tidak wajar kerana tindakan itu sama seperti hukuman parol yang dikenakan kepada bekas banduan.
“Perlu diingat mereka belum lagi bersalah, jangan hukuman mereka sama seperti banduan didapati bersalah. Kena beri layanan sama seperti rakyat lain,” ujar beliau. – UTUSAN











