PETALING JAYA: Kerajaan harus membuka pasaran daging import supaya memberi lebih pilihan kepada pengguna selain mengelak pergantungan bekalan daripada satu negara sahaja.
Langkah itu selain dapat menstabil dan menjamin bekalan berterusan, juga dapat mewujudkan persaingan yang sihat dari segi harga daging import.
Antara negara yang dikatakan mampu membekalkan daging halal ke Malaysia secara konsisten adalah Pakistan. Ini dibuktikan dengan nilai eksport kira-kira AS$250 juta ke lapan negara termasuk enam negara dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Vietnam dan Afghanistan.
Namun, usaha mereka meneroka pasaran negara ini gagal ekoran ada pihak dalam kerajaan yang didakwa berkomplot dengan pengeksport dari sebuah negara pembekal lembu di Asia untuk memonopoli rantaian import ternakan tersebut ke negara ini.
Pihak terbabit juga didakwa berpakat dengan pemain industri import lembu tempatan untuk mengawal sektor makanan negara itu yang sekaligus menutup peluang dagangan Malaysia dengan pembekal lembu negara lain khususnya negara Islam seperti Pakistan.
Sumber industri yang ditemui Utusan Malaysia mendedahkan, pihak tersebut didakwa membuat gangguan dengan mengenakan sekatan serta halangan tidak masuk akal kepada syarikat-syarikat Pakistan yang berminat mengeksport lembu ke Malaysia.
Kata sumber, Pakistan turut mempunyai stok ruminan yang mencukupi untuk dieksport ke negara ini, namun pengeksport dari negara Islam itu sentiasa dikenakan halangan seperti sekatan terhadap jenis dan bahagian lembu yang dibenarkan untuk dieksport.
“Dalam soal keselamatan makanan, lembu dan bekalan daging kebanyakan diimport dari sebuah negara Asia, sedangkan Pakistan juga ada bekalan ruminan dan ia negara Islam. Tiada pun Malaysia import lembu dari Pakistan. Ini memang betul berlaku.
“Sebab, pemain industri import lembu dari negara Asia itu, mereka sangat kuat birokrasinya termasuk dengan pihak kerajaan Malaysia. Ada pihak dalam kerajaan yang mana memang sangat susah (dipecahkan dominasinya). Inilah maklumat yang disampaikan oleh beberapa syarikat pengeksport lembu dari Pakistan kepada kami,” kata sumber di sini, semalam.
Menurut Dewan Perniagaan Pakistan (PBC), jumlah lembu yang dipasarkan oleh Pakistan merangkumi 0.44 peratus daripada seluruh pasaran global.
“Kira-kira 80 peratus daripada eksport Pakistan pada 2019 adalah daripada rangka lembu sejuk dan sejumlah 91.6 peratus adalah dalam kategori sejuk yang termasuk rangka, daging lembu dalam tulang-belulang,” kata PBC lagi.
Mengulas perkara itu, sumber berkata, beberapa syarikat Pakistan yang cuba mengeksport lembu dari negara Islam itu ke Malaysia, sering menghadapi sekatan dan halangan daripada agensi yang terlibat menyelia sektor import-eksport ternakan tersebut.
“Mereka (syarikat pengeksport lembu Pakistan) sudah cuba memecahkan dominasi pemain industri dari sebuah negara pembekal di Asia dalam sektor bekalan lembu ke Malaysia tapi banyak sangat sekatan.
“Pihak yang mengawal selia urusan import-eksport kata tak boleh bawa masuk daging pejal (the whole meat), cuma bahagian (tertentu) seperti tulang dan rusuk lembu saja yang boleh (diimport). Tapi untuk lembu yang diimport dari negara pembekal di Asia itu, tiada sekatan pula,” dakwa sumber.
Utusan Malaysia turut menyiasat kegiatan pihak yang mengawal import lembu dari negara pembekal Asia itu dengan satu sumber tempatan lain yang terlibat membekalkan lembu bagi tujuan korban dalam negara ini.
Sumber tersebut mengesahkan kewujudan pihak yang didakwa memonopoli import dan bekalan lembu ke negara ini termasuk mengawal stok lembu untuk ibadah korban.
Kata sumber, perkara ini disahkan apabila syarikatnya pernah libat urus dengan seorang pengimport yang membawa masuk bekalan sumber protein itu dari negara pembekal tersebut.
“Kami terlibat dalam pembekalan lembu bagi ibadah korban. Apa yang berlaku, sebelum ini kami mahu menyelesaikan isu bekalan lembu bagi tujuan korban agar pembekal stok itu dalam kalangan muslim.
“Jadi, kami uruskan soal sistem korban. Maksudnya, kita mahu sumber itu halal dan itu haruslah bermula daripada bekalan. Tak ramai yang faham pada waktu itu, jadi ada satu entiti kerajaan bawa kami jumpa kepada seorang pembekal lembu tempatan.
“Dia memang beritahu terus-terang waktu itu, sebab dia sangka entiti kami mahu kacau pasaran (import lembu) yang dia kuasai. Dia kata, antara perkataan yang menjentik kami ialah, “kalau (syarikat) kami tak bawa masuk lembu, ibadah korban akan terganggu, tahu tak.
“Itu kata pengimport itu kepada kami yang memang menjentik jiwa kami sebagai entiti muslim yang terlibat membekalkan lembu untuk ibadah korban,” dakwa sumber itu. – UTUSAN










