PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk mewujudkan akta baharu bagi menangani pihak yang mempermainkan isu agama, raja dan kaum (3R) kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mengawal perkara berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mior Nor Haidir Suhaimi, ini kerana apa yang penting adalah bagaimana kerajaan menguatkuasakan akta sedia ada dalam mengawal isu berkaitan 3R.
“Misalnya Artikel 10 kebebasan bersuara, tetapi tertakluk kepada akta fitnah maknanya kebebasan bukan mutlak dan ada kawal selia oleh akta-akta sedia ada.
“Selain itu, kanun keseksaan dan kanun jenayah atau apa sahaja berkaitan 3R sudah ada, cuma bagaimana kita mahu menguatkuasakan.
“Jadi, apabila buat banyak akta, ia sudah macam kosmetik… bertambah-tambah akta sedia ada, sedangkan akta sedia ada boleh diguna pakai untuk semua perkara dibangkitkan berkenaan 3R,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, kerajaan bercadang mengkaji untuk mewujudkan akta baharu bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu 3R berdasarkan aspek sivil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, akta yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa itu akan hampir sama dengan Akta Keharmonian Kaum di Singapura.
Azalina berkata, kesalahan membabitkan isu 3R ketika ini disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 yang lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah.
Mengulas lanjut, Mior Nor Haidir yang juga Pengerusi Biro Guaman Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, akta baharu untuk menangani isu 3R bagaimanapun tidak menjadi satu masalah sekiranya kerajaan terus mahu melaksanakannya.
Namun, katanya, akta tersebut perlu adil dan bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan.
“Apa sebenarnya niat kerajaan buat akta baharu? Adakah (sebab) tidak boleh kawal perkembangan isu 3R atau cuma mahu buat akta yang lebih tegas.
“(Jika akta lebih tegas) maksudnya akan lebih menyekat dan tidak adil untuk dilaksanakan. Apa-apa pun akta yang mahu dibuat mesti mengikut Perkara 10 kebebasan bersuara.
“Kalau buat undang-undang untuk sekat sampai tidak boleh ‘bergerak’, maka ia sudah bertentangan Perlembagaan Perkara 10,” jelasnya. – UTUSAN










