Ras Adiba nafi sertai Bersatu kerana kecewa

Ras Adiba nafi sertai Bersatu kerana kecewa

RAS Adiba Mohd. Radzi menunjukkan watikah keahlian Bersatu yang diterimanya daripada Muhyiddin pada Majlis Pelancaran Jentera PRN PN Negeri Sembilan, di Seremban, Ahad lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas personaliti TV dan aktivis sosial, Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi menafikan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kecewa tidak disambung jawatan sebagai Ahli Dewan Negara dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ras Adiba sebaliknya menjelaskan, penyertaannya ke Bersatu adalah kerana menyokong aspirasi parti itu dan demi kesejahteraan rakyat di samping mahu terus memperjuangkan nasib golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

“Saya tidak kecewa tidak disambung di bawah pucuk pimpinan sekarang, kerana rezeki saya adalah daripada Allah, bukan manusia.

“Penyertaan saya dalam Bersatu adalah menyokong aspirasi parti ini dan demi kesejahteraan rakyat. Selain daripada OKU untuk warga emas, saya masuk Bersatu demi keseluruhan masyarakat di Negeri Sembilan khususnya kampung saya di Seri Menanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mendakwa Ras Adiba pernah membisik kepadanya agar memberitahu bapanya yang juga Timbalan Perdana Menteri agar disambung jawatan Senator dan Pengerusi Bernama.

Nurulhidayah membuat dakwaan tersebut dalam satu hantaran di Instagram berharap keputusan Ras Adiba menyertai Bersatu bukan disebabkan dua jawatan tersebut tidak disambung kerajaan.

Pada Ahad lalu, aktivis OKU itu diumumkan menyertai Bersatu pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Ras Adiba mengakui pernah berbisik mengenai hasratnya itu kepada Nurulhidayah agar kedua-dua jawatan disambung supaya dapat terus berbakti demi memperkasa golongan OKU.

Namun, beliau agak sedikit terperanjat dengan tindakan itu kerana menyifatkan bisikan tersebut sebagai satu rahsia dan bukannya untuk didedahkan kepada umum.

“Memang benar sebagai seseorang berpangkat kakak atau adik, saya berbicara mengenai tugas saya sudah berakhir di Bernama dan Senator. Saya beritahu pada beliau jika ada peluang, saya ingin terus bertugas, tidak lebih daripada itu.

“Bagaimanapun saya terima kasih kepada Datuk Nurul kerana bagi saya ruang di media sosial, bermula itu ramai lebih tahu pembabitan saya dalam Bersatu,” katanya.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 baru-baru ini, Ras Adiba bersetuju diangkat sebagai ikon wanita dalam Majlis Hi-Tea Anugerah Skuad Sayang Wanita UMNO setelah dicadangkan Nurulhidayah selaku Pesuruhjaya NGO Skuad Sayang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN