Jangan sensasikan kes kekecohan di KLIA

Jangan sensasikan kes kekecohan di KLIA

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meng­ingatkan semua pihak terma­suk media agar tidak mensensasikan isu dakwaan rasuah melibatkan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pesuruhja­ya SPRM, Tan Sri Azam Baki me­negaskan, semua pihak juga diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan siasatan membabitkan kes itu masih berjalan.

Malah, kata beliau, laporan yang mengatakan tiada unsur rasuah dalam kejadian itu tidak sepatutnya dikeluarkan memandangkan kes masih lagi dalam siasatan

“Kita sedang dan masih lagi lakukan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

“Siasatan kita bukan sahaja menumpukan pelakuan rasuah di pintu masuk negara tetapi juga akan melihat kepada prosedur operasi stan­dard (SOP), kerja penguatkuasaan di Jabatan Imigresen dan agensi yang bertugas di KLIA dan prosedur pemeriksaan dan pelepasan terhadap pelancong yang masuk ke negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Azam menegaskan, adalah tidak munasabah sekiranya rumusan dibuat dalam masa yang singkat sahaja sedangkan kes itu memerlukan penelitian dan siasatan yang menyeluruh.

Laporan Utusan Malaysia semalam mendedahkan, siasatan awal SPRM tidak menemukan sebarang elemen rasuah membabitkan penolakan masuk dua wanita China ke negara ini sehingga menimbulkan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu.

Dalam pada itu, satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, siasatan awal mendapati, tiada sebarang pembayaran wang dibuat terhadap mana-mana individu selepas mereka tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Kata sumber, kekecohan yang berlaku berpunca kekeliruan dan salah faham membabitkan dua pelancong itu dengan orang tengah atau ejen yang dihubungi sebaik mereka dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) memasu­ki Malaysia dikeluarkan.

Mereka yang terkandas itu dihubungi ejen menggunakan aplikasi WeChat bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.

Semakan di aplikasi WeChat ada menyatakan amaun me­ngenai pembelian tiket pulang ke negara asal dan bayaran di­kenakan oleh ejen.

Disebabkan masalah komu­nikasi antara kedua-dua pihak ini (dua wanita China dan ejen), timbul salah faham ko­nonnya berlaku rasuah di KLIA, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan berhubung perkara ini.

Sementara itu, difahamkan, Jabatan Imigresen boleh me­ngeluarkan notis NTL kepada mana-mana pelawat asing yang tidak memenuhi syarat kemasukan di negara ini.

Selepas notis NTL dikeluarkan, menjadi tanggungjawab kepada syarikat penerbangan yang mereka naiki untuk membawa mereka pulang semula ke negara asal masing-masing.

Disebabkan terlalu banyak syarikat penerbangan di KLIA, Jawatankuasa Pengendali Sya­­rikat Penerbangan (AOC) me­ngambil inisiatif melantik se­buah syarikat swasta bagi menguruskan pelawat NTL.

Syarikat itu akan bertanggungjawab menguruskan ke­bajikan pelawat NTL sementara menunggu penerbangan pulang ke negara asal tetapi tidak termasuk menguruskan tiket pulang.

Namun, atas inisiatif kakitangan syarikat menguruskan NTL, mereka akan menawarkan pembelian tiket pulang kepada pelawat asing tersebut, tapi di­salah erti sebagai pihak imigre­sen mahu wang rasuah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×