Faktor ekonomi jadi penentu?

Faktor ekonomi jadi penentu?

RAKYAT ketika ini dibelenggu oleh kenaikan harga barang asas seperti beras, telur, ayam dan ikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Faktor ekonomi yang membelenggu negara ketika ini sehingga menyaksikan peningkatan kos sara hidup dijangka menjadi penentu undian 5.2 juta pengundi berusia 30 hingga 59 tahun pada pilihan raya negeri (PRN), pada 12 Ogos ini.

Sentimen pengundi dalam kalangan usia 30 hingga 59 tahun perlu menjadi fokus utama parti politik yang bertanding memandangkan jumlah golongan tersebut melebihi 50 peratus daripada keseluruhan pengundi di enam negeri terlibat PRN.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan jumlah keseluruhan pengundi pada PRN membabitkan negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan mencecah 9.7 juta orang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, pengundi berusia antara 30 tahun hingga 59 tahun adalah golongan yang rata-ratanya berada di puncak karier masing-masing.

Justeru, beliau berpandangan, indikator utama yang diperhatikan golongan tersebut adalah berkaitan ekonomi negara selepas tujuh bulan ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Selepas tujuh bulan, ekonomi masih terlalu perlahan menyebabkan golongan tersebut hilang sabar. Saya lihat (sokongan) tidak memihak kepada kerajaan hari ini. Mereka (PH) pada kempen dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) memberi gambaran bahawa mereka banyak formula ajaib tetapi ekonomi tetap perlahan,” katanya.

Beliau berkata, golongan tersebut mahu melihat perubahan drastik terutama dalam sektor ekonomi negara.

“Mereka ini faham bahawa ekonomi dunia juga agak malap ketika ini tapi mereka mahukan tindakan (di pihak kerajaan).

“Iya kerajaan sudah mansuhkan beberapa subsidi terhadap golongan T20 dan mereka agak terkesan dengan keputusan tersebut tapi apakah manfaat kepada kumpulan pertengahan,” katanya.

Ulasnya lagi, apa yang paling ditakuti oleh golongan tersebut adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pendekatan pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) seperti yang dimomokkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Jika perkara tersebut berlaku, kepercayaan rakyat terhadap Anwar akan habis (hilang). Jadi pada PRN depan mereka bukan mengundi disebabkan menyokong PN sebaliknya mahu menghantar isyarat protes kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Azmi Hassan pula memberi pandangan berbeza apabila berkata, pengundi berusia antara 30 hingga 59 tahun boleh dianggap sebagai ‘pengundi veteran’ iaitu bukanlah kali pertama berbuat demikian.

Jelasnya, golongan tersebut juga sentiasa berfikiran logik dalam membuat sebarang keputusan terutamanya membabitkan masa depan masing-ma­sing.

“Golongan ini berfikiran logik, kalau mereka memilih PN mentadbir di tiga negeri milik PH ia tidak akan mengubah senario ekonomi negara, kos sara hidup kerana itu hanyalah kerajaan negeri bukan kerajaan Persekutuan.

“Jadi, bagi saya kalau ingin mengatakan bahawa undian mereka dipengaruhi faktor ekonomi sahaja, ia sukar untuk mempengaruhi golongan tersebut,” katanya.

Sebaliknya, Azmi berpandangan bahawa undian dibuat oleh golongan tersebut akan membuat keputusan kepada majoriti rakyat secara keseluruhannya di enam negeri yang dipertandingkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×