Kayakan anak dan kroni, mana bukti – Dr. Mahathir

Kayakan anak dan kroni, mana bukti – Dr. Mahathir

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, segala dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bekas Perdana Menteri itu ‘mengayakan anak dan kroni’ adalah tidak berasas dan tanpa sebarang bukti.

Walaupun diminta diberikan sesalinan 21 dokumen yang dise­but dalam pembelaannya, Anwar enggan berbuat demikian.

“Sebagai Perdana Menteri, defendan (Anwar) mempunyai akses atau kuasa untuk memastikan bahawa segala apa yang dinyatakan adalah benar secara fakta dan disokong oleh dokumen-dokumen yang sah dan benar. Bukannya berdasarkan kepada rasa syak munasabah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh sebab itu, plaintif pada 23 Jun lalu telah memfailkan ‘Notis Untuk Mengemukakan Dokumen Yang Disebut Dalam Pliding Atau Afidavit’ di bawah Aturan 24 Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk memastikan segala fakta yang telah dinyatakan oleh defendan di pembelaan tersebut berdasarkan fakta atau sebaliknya.

“Namun, defendan enggan mengemukakan dokumen-dokumen yang dimohon dengan alasan yang tidak munasabah sedangkan notis tersebut boleh difailkan dan dipohon dokumen itu untuk dikemukakan pada bila-bila masa selepas pembelaan tersebut difailkan,” katanya.

Dr. Mahathir berkata demi­kian dalam jawapan kepada pembe­laan Anwar berhubung saman fitnah RM150 juta yang difailkan terhadap bekas timbalannya.

Dalam writ saman dan tuntutannya, bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sebagai plaintif mendakwa ucapan Anwar membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Berhubung isu bail-out syarikat Konsortium Perkapalan Berhad (KPB) kini dikenali sebagai Pos Logistics pada 1997 yang mana anaknya Mirzan merupakan pemegang saham terbesar dan pengarah, Dr. Mahathir menyatakan bahawa Anwar sendiri di Parlimen menafikan ia merupakan satu bail-out.

Dalam laporan berita oleh Bernama bertarikh 20 Mac 1998, Anwar dalam temu ramah menyatakan bahawa isu KPB ‘bukanlah sebuah bail-out’, malahan ia adalah keputusan yang berasaskan kepada business decision.

Merujuk kepada pemberian kontrak optik fiber kepada Opcom Sdn. Bhd., Dr. Mahathir menjelaskan syarikat terbabit dari awal penubuhannya pada November 1994 telah menjalankan operasi pembekalan kabel fiber optik dan penghasilan kabel fiber optik serta telah menjalinkan kerjasama bersama Ericsson Network Technologies AB bagi tujuan serupa.

“Defendan sendiri dalam pembelaannya mengakui bahawa Telekom Malaysia Berhad secara sendirinya dan sukarela mengeluarkan surat kepada Kementerian Kewangan untuk mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi kontrak fiber optik tersebut.

“Itu menunjukkan tiada campur tangan atau arahan asal atau cadangan oleh plaintif untuk memberikan kontrak tersebut kepada Opcom dan jelas membuktikan bahawa Opcom adalah satu-satunya syarikat milikan bumiputera yang berkelayakan untuk menerima atau melaksanakan kerja-kerja dalam kontrak tersebut serta didaftarkan di bawah Program Pembangunan Vendor Telekom,” katanya.

Dr. Mahathir menegaskan bahawa tidak terdapat sebarang salah guna kuasa arah tindakannya ‘memperkayakan anak-anak’ beliau, sebaliknya kesemua hasil perniagaan mereka adalah daripada usaha dan merit syarikat yang dimiliki.

Menjawab pembelaan Anwar berhubung dakwaan ‘me­ngayakan kroninya’, Dr. Mahathir menyatakan kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu ko­nonnya plaintif ‘memberi kebenaran’ kepada mendiang Tan Sri Eric Chia dan Perwaja Steel untuk ‘berbuat sesuka hatinya’ itu adalah tuduhan berat tanpa bukti dan asas yang kukuh.

“Tempoh yang dikatakan bail-out tersebut dilaksanakan, Anwar sendiri adalah Menteri Kewangan pada ketika itu. defendan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menu­ding jari terhadap plaintif dan mengelak bertanggungjawab ter­hadap keputusan yang dibuat secara kolektif oleh Menteri Kabinet dan ahli-ahli Parlimen,” ujar beliau.

Tambah Dr. Mahathir, adalah tidak logik untuk Anwar menepis sebarang dakwaan wujudnya sebarang salah guna kuasa semasa bail-out tersebut berlaku, dan kemudiannya memilih untuk menyatakan sebaliknya dalam pembelaannya pada masa sekarang.

“Berdasarkan pendedahan perkara di atas, ia jelas menunjukkan Anwar mempunyai kecenderungan sebagai seorang pathological liar. Ini kerana defendan menyatakan pendirian yang berbeza dengan apa yang dinyatakan di Pembelaan tersebut pada hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini