Peka kehadiran kepala air, bukan tahu seronok saja

Peka kehadiran kepala air, bukan tahu seronok saja

ANJING pengesan digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BADAN air mengandungi air secara semula jadi atau buatan seperti kolam, tasik, pantai, teluk, sungai, air terjun, empangan, jeram dan laut. Umumnya aktiviti atau sukan air dapat memberi kegembiraan dan keseronokan kerana air bersifat terapeutik yang menjadi terapi ketenangan, menghilangkan tekanan serta kebosanan. Namun, aktiviti yang menyeronokkan ini ada bahayanya kerana kemalangan atau kecelakaan boleh berlaku jika aspek keselamatan tidak dititikberatkan.

Malang tidak berbau dan kejadian boleh berlaku tanpa dijangka.

Paling memudaratkan adalah kehilangan nyawa akibat lemas dan kecederaan. Tragedi mati lemas di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu, Ahad lalu menuntut usaha keseluruhan dibuat dalam menangani kesan fenomena lazim berlaku di negara ini.

Dari 2008 sehingga 2022, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia merekodkan 1,595 panggilan berhubung kes lemas dengan purata 319 panggilan setahun. Bagi tempoh sama, jumlah kematian akibat lemas pula direkodkan 1,341 mangsa, iaitu purata 268 kematian setahun. Lokasi kematian tertinggi adalah sungai dan tali air.

Kejadian lemas semasa mandi di pantai, kolam renang atau aktiviti perkhemahan sering berlaku terutama pada musim cuti persekolahan dan perayaan. Ia boleh dikatakan isu serius kerana laporan menunjukkan kematian disebabkan lemas berlaku hampir setiap minggu. Kanak-kanak dan remaja adalah mangsa paling ramai, iaitu hampir 50 peratus daripada jumlah kematian.

Ramai pelajar menjalankan aktiviti air pada musim cuti sekolah tanpa persiapan rapi termasuk kelengkapan keselamatan seperti pelampung, selain tiada asas berenang. Apabila ada rakan hanyut, yang lain akan cuba membantu menyelamat tanpa peralatan keselamatan selain tidak pandai berenang menyebabkan berlaku peningkatan kes lemas.

Natijahnya, kematian akibat lemas boleh dielakkan jika langkah keselamatan secukupnya diambil.

Jangan anggap sungai, air terjun atau tali air cetek tidak berbahaya kerana arus tenang boleh bertukar menjadi deras serta mewujudkan pusaran air pada bila-bila masa. Malah, kadar kematian disebabkan kes lemas di negara ini adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding kadar kematian melibatkan mangsa kebakaran.

Umumnya, kemalangan aktiviti air seperti lemas berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya kekurangan pengetahuan berhubung keadaan air laut, sungai, kolam dan sebagainya; tidak mematuhi peraturan dinyatakan; ketidakhadiran pihak bertanggungjawab untuk memantau sepanjang masa; ketidakupayaan mengenal pasti bahaya sebelum menjalankan aktiviti seperti keadaan dan cuaca persekitaran; kurangnya kesedaran dan ilmu pengetahuan dalam keselamatan air, survival diri dan asas kemahiran penyelamatan nyawa serta mengabaikan siren atau bunyi amaran selain cemas atau kelam-kabut (panik) bila musibah berlaku.

TITIK PANAS

Di negara ini, sejumlah 5,500 lokasi hotspot (titik panas) banjir termasuk 186 kawasan berisiko kepala air dikenal pasti. Lantaran itu, pemetaan kawasan hotspot kepala air perlu dipertingkatkan dan dilakukan secara berkala, bukan hanya bermusim. Maklumat itu pula mesti disebarkan secara meluas kepada rakyat.

Aspek keselamatan semasa melakukan aktiviti air terutama sekali di pantai didedahkan kepada masyarakat untuk memastikan mereka sentiasa peka dan mengetahui tindakan yang boleh dilakukan. Adalah sangat penting orang awam mengetahui tindakan awal sebelum pasukan penyelamat datang. Lima minit pertama kes-kes kemalangan dan kejadian melibatkan orang awam dan sekiranya tahu untuk bertindak dengan bijak, diri mereka dan orang lain berkemungkinan boleh diselamatkan.

Secara umumnya, semua sungai atau jeram berisiko untuk berlaku kepala air atau insiden lemas. Namun begitu, jika dikategorikan sebagai lokasi hotspot, ia adalah lokasi di mana kejadian berlaku lebih dari sekali.

Maka, pemetaan kawasan hotspot kawasan berisiko perlu dipergiat secara berkala memandangkan insiden seumpama ini kerap terjadi. Pengunjung dan orang ramai juga perlu peka dengan hebahan yang dibuat pihak berwajib bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Orang ramai juga dinasihat melapor kepada balai polis berhampiran jika mahu melakukan aktiviti dan pergerakan seperti berkhemah atau beriadah di kawasan jeram, air terjun atau lokasi rekreasi air yang bukan kawasan rekreasi awam. Paling utama, mereka perlu sentiasa mengambil tahu situasi cuaca di lokasi dituju dan memastikan kawasan perkhemahan didirikan di tapak dan jarak selamat dari gigi air bagi memastikan mempunyai masa mencukupi untuk menyelamatkan diri jika berlaku kenaikan paras air drastik.

Selain itu, mengawasi aktiviti ahli keluarga terutama anak-anak di dalam air serta mengesan sebarang perubahan air seperti paras ketinggian, warna, kederasan dan keberadaan puing asing yang timbul di permukaan juga dapat membantu. Selain demonstrasi menyelamat dan bantuan kecemasan di air, mungkin boleh diselitkan program-program televisyen, infografik atau kartun (animasi) bagi memberi peringatan tentang bahaya aktiviti air terutama kepada golongan kanak-kanak.

Pihak berkuasa juga perlu menjalankan pemeriksaan berkala di semua kawasan rekreasi di bawah bidang kuasa mereka dan memastikan penyelenggaraan dijalankan supaya tempat-tempat tersebut selamat untuk dikunjungi orang ramai. Jika didapati tidak selamat, segera maklumkan melalui papan tanda keselamatan dan tanda-tanda amaran yang boleh dilihat orang ramai. Dengan melaksanakan langkah keselamatan berkesan melalui penglibatan semua pemegang taruh, jumlah kematian akibat lemas boleh diminimumkan. – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Rahman ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan/Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×