KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang ingin menunaikan haji menerusi syarikat pengendali swasta pada tahun depan dijangka berhadapan dengan kenaikan kos dianggarkan mencecah RM60,000 seorang berbanding sekitar RM40,000 tahun ini.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kenaikan kos itu dipengaruhi keadaan semasa yang berlaku tahun ini.
“Kos haji sekarang mahal, kita sekarang bayar sistem mujamalah pun sudah ambil 12,000 riyal yang bersamaan hampir RM15,000. Jadi dengan tiket, penginapan dan sebagainya memang kos jadi RM30,000 ke RM40,000.
“Tahun depan, kalau jemaah ingin menunaikan ibadah tersebut mengikut Lembaga Tabung Haji (TH), mereka dah senang sebab tak perlu membayar mujamalah. Jadi sudah jimat RM15,000, visa pun tak kena. Jadi kos dianggarkan sekitar RM30,000.
“Ini berbeza sekiranya jemaah ingin menunaikan haji dengan mengikut swasta, ia boleh mencecah sampai RM60,000,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kos haji bagi tahun ini adalah RM30,850 berbanding tahun sebelumnya RM28,632 yang menyaksikan dalam jangka masa setahun mengalami peningkatan sebanyak RM2,218.
Kos ke tanah suci tahun 2021 pula ditetapkan pada RM25,000 sebelum mengalami peningkatan pada tahun seterusnya.
Secara purata peningkatan hampir RM3,000 setiap tahun perlu dihadapi oleh para jemaah untuk menunaikan haji dan perkara ini dibimbangi terus berlaku peningkatan oleh kerana faktor ekonomi dan nilai mata wang negara.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, peningkatan kos tersebut tidak boleh dihalang dan mengalami kenaikan sekurang-kurangnya enam sehingga 10 peratus secara keseluruhan.
Jelasnya, untuk mengekang kenaikan adalah sukar kerana kebanyakan kos tidak boleh dikawal oleh kerajaan sendiri, yang mana ia adalah kuasa di luar negara.
“Peningkatan kos memang tak boleh dielak, ini dihadapi oleh seluruh dunia. Cuma kita perlu berusaha meningkatkan pendapatan sebab jika kemampuan meningkat maka dengan mudah boleh mengatasi kenaikan kos.
“Ini kita boleh lakukan dengan meningkatkan produktiviti dan kemahiran terutama dalam kalangan kumpulan B40 yang kebanyakannya golongan pekerja. Jadi ini akan membantu meningkatkan pendapatan,” katanya.
Tambahnya, negara disaran memulakan sebuah skim wakaf bagi memudahkan bakal-bakal jemaah menunaikan ibadah tanpa perlu rasa tertekan dengan kenaikan kos. – UTUSAN










