PONTIAN: Jentera pilihan raya UMNO bergabung dengan jentera Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk gandingan mantap menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN), tidak lama lagi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerjasama itu penting bagi menyelaras gerak kerja supaya tidak timbul pertindihan dan lain-lain isu berbangkit.
Katanya, memandangkan keghairahan Perikatan Nasional (PN) untuk menawan keenam-enam negeri pada PRN ini, kesepakatan kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sangat penting.
Beliau berkata, walaupun gabungan PH dan UMNO baru diuji kali ini, bukan satu masalah bagi membentuk kerjasama yang kuat sekali gus memberi cabaran kepada jentera pilihan raya PN.
“Pandangan saya selaku ahli MKT, PRN kali ini memberi peluang kepada semua parti untuk saling membantu dan menyokong gagasan Kerajaan Perpaduan yang menerajui Putrajaya.
“Kita akan memastikan kemenangan di negeri-negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selain memberi cabaran bagi menawan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu,” kata Ahli Parlimen Pontian itu selepas penyampaian daging korban kepada penduduk Kampung Parit Ibrahim, di sini, semalam.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, sokongan diberikan kepada mana-mana calon yang bertanding sama ada calon dari Barisan Nasional (BN) atau yang mewakili PH.
“Kita akan membuktikan bahawa gabungan dalam Kerajaan Perpaduan benar-benar bersedia pada waktu susah, senang dan PRN adalah ujian pertama untuk diterjemahkan,” katanya. – UTUSAN










