TEMERLOH: Seramai 17 keluarga di Kampung Insaf di sini dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM1 juta dalam tempoh lebih 20 tahun ekoran kerosakan kediaman mereka yang setiap tahun dilanda banjir.
Difahamkan sejak 2004 penduduk terlibat dijanjikan penempatan baharu, namun sehingga kini masalah terbabit dilihat belum selesai dan mereka berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan permohonan ditempatkan di kawasan baharu.
Sebelum ini mereka hadir ke Pejabat Menteri Besar yang terletak di Wisma Sri Pahang, Kuantan, bagi menghantar memorandum meminta Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyegerakan permohonan penempatan baharu terbabit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohamad Khairul Adlan Husin, 38, berkata, boleh dikatakan hampir setiap tahun kampung terbabit dilanda banjir dan yang paling teruk pada 2021.
“Pada 2021, kami dilanda banjir sebanyak dua kali iaitu awal tahun dan akhir tahun. Banjir kali pertama air naik separuh paras ketinggian rumah, kali kedua banjir, air naik sehingga tenggelam keseluruhan.
“Ada antara rumah penduduk yang dihanyutkan banjir. Sejak kejadian 2021 itu, kami rasa serik untuk berdepan dengan banjir lagi,” katanya di sini semalam.
Tambah Mohamad Khairul Adlan, penduduk kampung ada ditawarkan beberapa kawasan penempatan baharu namun kebanyakan mereka tidak bersetuju kerana jauh dari kampung tempat membesar dan mencari rezeki.
“Ada bagi penempatan baharu, tapi jauh dari kampung kami. Kalau boleh kami tidak mahu jauh dari kawasan kampung ini kerana rata-rata antara kami merupakan nelayan sungai dan mencari rezeki di sungai,” katanya.
Menurutnya, penduduk kampung sudah mencadangkan satu penempatan baharu iaitu perumahan terbiar milik Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terletak berhampiran Kampung Insaf itu dan kesemua mereka bersetuju ditempatkan di situ.
“Daripada habiskan duit bina rumah baharu yang jauh dari kampung kami ini, lebih baik tempatkan kami di perumahan terbiar JKR itu.
“Di situ, hanya perlu dibaiki kerosakan dan kawasan itu mungkin dilanda banjir juga, tapi tidak teruk apa yang kami alami saban tahun. Sudah tidak sanggup lagi berhabis wang membaiki kerosakan akibat banjir,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Razi Ismail, 49, berkata, akibat kerosakan teruk dalam kejadian banjir pada 2021, dia mengambil keputusan menyewa rumah di kampung lain dan tidak lagi membaiki kerosakan kediaman didiaminya sebelum ini.
“Saya terpaksa biarkan sahaja rumah tidak dibaiki. Saya juga kini menyewa di rumah lain. Kalau boleh sangat berharap ada rumah sendiri demi masa depan anak dan cucu,” katanya.
Bagi Maziah Mohamad, 50, dia sudah menetap di kampung berkenaan sejak 30 tahun lalu dan banjir dikatakan mula melanda kawasan itu sekitar 1995 ketika anak keduanya baru berusia lima bulan.
“Sejak itu boleh dikatakan setiap tahun banjir dan setiap kali banjir, rumah saya yang terlebih dahulu akan dinaiki air.
“Sudah banyak kali minta penempatan baharu dan setiap kali banjir kami dijanjikan penempatan baharu, tapi setiap kali akan senyap sahaja selepas itu,” katanya. – UTUSAN











