Tuntutan China di Laut China Selatan tiada asas

Tuntutan China di Laut China Selatan tiada asas

KAWASAN yang didakwa sebagai Nine-Dash-Line (N-D-L) berada dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua negara-negara Asia Tenggara berhampiran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSELISIHAN antara China dan negara-negara sekitar Laut China Selatan seperti Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei dan Indonesia berlarutan sehingga kini. Tuntutan dan alasan diberikan oleh kedua-dua pihak berselisih ada hujah dan kemunasabahan masing-masing.

Dalam persoalan ini, kita harus melihat pada Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) 1982 yang boleh dianggap sebagai perlembagaan undang-undang laut antarabangsa yang perlu dijadikan rujukan oleh semua pihak terlibat. Persoalannya, adakah semua pihak terlibat mahu merujuk dan akur dengannya?

Kedua, dari segi pelaksanaan undang-undang laut itu. Persoalan asas yang timbul adalah undang-undang antarabangsa tidak bersifat undang-undang sebenar dari segi pelaksanaannya (international law is not really law). Sistem antarabangsa meletakkan state is the highest authority – membolehkan sama ada sesebuah negara boleh menerima atau menolak sesuatu peruntukan undang-undang antarabangsa.

China bertindak berasaskan lakaran kawasan perairan laut Nine-Dash-Line (N-D-L) meliputi hampir 90 peratus daripada Laut China Selatan. Sebahagian besar Laut China Selatan termasuk dalam apa yang didakwa China sebagai wilayahnya, iaitu lakaran N-D-L.

China menuntut berasaskan historic rights, iaitu asas sejarah wilayah ini. Mengikut China, wilayah Laut China Selatan dikuasainya berasaskan sejarah sejak beratus tahun lamanya. Walaupun kawasan perairan dituntut China adalah dalam jarak yang sangat jauh melebihi peruntukan UNCLOS sama ada berasaskan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua. Jarak biasa EEZ adalah 200 batu nautika dan jarak paling jauh, 350 batu nautika.

Kawasan dituntut China melebihi 500 batu nautika yang secara jelas bercanggah dengan peruntukan dalam UNCLOS. Kawasan dituntut China adalah menghampiri/memasuki wilayah laut dan zon bersempadan negara-negara Asia Tenggara seperti Filipina, Brunei, Vietnam dan Malaysia. Rondaan kapal-kapal pihak berkuasa China adalah memasuki perairan laut Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Indonesia.

Kedudukan Indonesia agak jauh tetapi kedaulatan republik itu ke atas Pulau Natuna memberikan hak dan garis sempadan wilayah laut, zon bersempadan dan EEZ serta pelantar benua yang jelas sebagaimana dinyatakan dalam Artikel 121 (1), (2) dan (3). Kedudukan dan garis sempadan wilayah laut, zon bersempadan serta EEZ dan pelantar benua bagi Malaysia, Filipina, Brunei dan Vietnam adalah lagi jelas.

Inilah yang menyebabkan perselisihan dan konflik antara China dan negara-negara Asia Tenggara ini tiada berkesudahan dan terus berlarutan. China mendakwa rondaan dan apa dilakukannya adalah sah kerana berada dalam kawasan N-D-L. Kawasan N-D-L itu bertindih dengan EEZ bahkan berlaku kapal-kapal China memasuki zon bersempadan negara-negara Asia Tenggara berkenaan. Yang paling jelas, kapal-kapal China memasuki kawasan EEZ negara-negara berkenaan.

Garis dasar China berada lebih 350 batu nautika (garis jarak paling besar bagi EEZ), manakala negara-negara seperti Vietnam, Malaysia, Filipina dan Brunei adalah jelas berada dalam lingkungan 200 batu nautika.

Secara logik biasa pun siapa sebenarnya yang menceroboh kawasan laut siapa? Persoalan perlu difahami di sini adalah international law is not really law dan state is the highest authority in the international system.

Di sini jelas timbul konflik antara rule of law (kedaulatan undang-undang) dan rule of power politics (pemerintahan politik kuasa). China mempunyai kedudukan politik dan kekuatan ketenteraan yang jauh lebih besar dan kuat daripada negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Vietnam, Filipina dan Brunei.

Persoalannya, adakah garis sempadan N-D-L dituntut oleh China berasaskan historic rights itu selaras dan diterima atau tidak oleh UNCLOS? Prinsip historic rights didakwa China itu diterima oleh undang-undang antarabangsa tetapi mempunyai syarat-syarat tertentu. Tiga syarat perlu ada. Pertama, the exercise of authority ke atas wilayah laut yang dituntut. Kedua, the exercise of authority adalah berterusan. Dan ketiga, the attitude of foreign state sama ada menentang atau tidak.

Dalam tuntutan N-D-L oleh China berasaskan historic rights, ia tidak memenuhi semua syarat. Exercise of authority ke atas kawasan laut N-D-L adalah tidak berterusan. Berlaku lompang masa kerana China tidak sepanjang masa menguasai kawasan yang dikatakan sebagai N-D-L itu. Kawasan itu pernah dikuasai Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Ia juga ditentang oleh negara-negara lain. Kawasan itu ditentang oleh Indo-China Perancis yang juga meletakkan kawasan berhampiran dengan Vietnam itu adalah sebahagian daripada wilayah mereka. Tuntutan terhadap kawasan itu telah membawa kepada berlakunya perang antara China dan Perancis, iaitu Sino-French War pada 1884 hingga 1885.

Secara jelas, semua syarat tuntutan China berasaskan historic rights adalah tidak dipenuhi. Persoalan lain, adakah wajar kawasan N-D-L itu secara jelas memasuki EEZ negara-negara Asia Tenggara berdekatan?

Kawasan yang didakwa China sebagai N-D-L berada dalam kawasan EEZ dan pelantar benua negara-negara Asia Tenggara berhampiran. Negara-negara ini lebih berhak kerana berada dalam jarak 200 batu nautika.

Garis sempadan dalam lingkungan 200 batu nautika perlu diadakan rundingan bersama bagi membentuk garis sempadan yang diterima oleh pihak-pihak yang bertindih. Adakah China atau negara-negara Asia Tenggara berkenaan lebih berhak dengan jarak batu nautika sedemikian? Secara mudahnya mengikut UNCLOS, kawasan didakwa China sebagai N-D-L adalah lebih berhak dikuasai sama ada oleh Filipina, Vietnam, Brunei dan Malaysia berasaskan jarak gigi pantai masing-masing.

Semua pihak sepatutnya merujuk dan menerima ketetapan diperuntukkan dalam UNCLOS. Penyelesaian berasaskan kekuatan kuasa politik dan ketenteraan bukan jalan terbaik dan harus dielakkan. Penyelesaian melalui rundingan dan berasas undang-undang laut antarabangsa akan lebih memberi kebaikan dan penyelesaian jangka panjang kepada pihak-pihak terlibat. – UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid ialah Profesor Madya di Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×