Pembukaan jambatan ikonik Pulau Poh beri limpahan rezeki

Pembukaan jambatan ikonik Pulau Poh beri limpahan rezeki

DUA pengunjung mengambil kesempatan berswafoto di jambatan ikonik Pulau Poh, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Pembukaan jambatan ikonik Pulau Poh dekat sini yang bermotifkan kepala bangau menjadi mercu tanda baharu yang dapat menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Tasik Kenyir.

Jambatan sepanjang 133 meter yang menelan belanja RM150 juta itu akan memberi limpahan rezeki kepada penduduk tempatan terutama peniaga dan pemain industri pelancongan di daerah ini.

Jambatan tersebut dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan baginda pada Jumaat lalu.

Seorang suri rumah, Latifah Abd. Rahman, 58, dari Kampung Jaya Baru, Pela, Ajil, berkata, jambatan ikonik tersebut akan menjadi lokasi wajib singgah untuk bergambar sekiranya berkunjung ke Tasik Kenyir.

“Kalau di Kuala Terengganu ada Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang menjadi tumpuan pelancong dan sekarang di Hulu Terengganu pula kita ada Jambatan Pulau Poh yang mempunyai reka bentuk menarik.

“Jambatan tersebut akan menjadi ikon pelancongan baharu yang membuka punca pendapatan kepada penduduk tempatan seterusnya pengusaha-pengusaha bot dan rumah bot di Tasik Kenyir,” katanya.

Seorang peniaga di Pasar Pagi Kuala Berang, Suhasniza Sahami, 41, berkata, kehadiran pelancong diharapkan dapat meningkatkan lagi pendapatan peniaga di bandar Kuala Berang di sini.

Katanya, kehadiran pelancong di Tasik Kenyir dijangka terus melonjak memandangkan tasik tersebut sebelum ini diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan dengan nama Kenyir Geopark.

“Jambatan ikonik Pulau Poh dan Kenyir Geopark bakal menarik minat lebih ramai pengunjung dan penduduk di daerah ini mendapat banyak manfaat selepas ini,” katanya.

Peniaga makanan dan minuman, Kiasah Bedul, 30, dari Kampung Ulu Sat, berkata, dia yang berniaga di tepi jalan utama dari arah Kuala Berang menghala ke Tasik Kenyir mengharapkan kehadiran pelancong di daerah ini meningkat selepas pembukaan jambatan ikonik itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×