Malayali dalam cerpen Tamil

Malayali dalam cerpen Tamil

PENULIS (kanan) bersama para pemenang Hadiah Cerpen Esso-Gapena pada 1996. Penulis memenangi tempat kedua dengan cerpen bertajuk Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA cerpen bertajuk Nayagi menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992) dan seterusnya termuat dalam antologi Menara 5 (1993), ia mendapat sambutan amat baik daripada peneliti sastera kebangsaan. Misalnya, arwah Dr. Othman Puteh memuji cerpen itu yang dikatakan membawa nafas baharu dan segar dalam penulisan cerpen bahasa kebangsaan khususnya oleh pengarang bukan Melayu.

Saya pada waktu itu masih baharu dalam bidang penulisan dan kurang menyedari keunikan cerpen Nayagi dalam mengubah wajah sastera kebangsaan. Tambahan pula, cerpen bertajuk Kandasami oleh Saroja Theavy Balakrishnan yang menang hadiah pertama pada tahun sebelumnya dan termuat dalam antologi Menara 4 (1991) masih diperkatakan sebagai karya terbaik dalam kategori ini.

Cerpen saya yang menang hadiah utama itu sebenarnya bukan ditulis khusus untuk pertandingan. Sebaliknya, saya pernah kirim ke majalah Dewan Siswa tetapi tidak tersiar. Pada waktu itulah saya mendapat tahu tentang pertandingan yang diadakan, lalu menyertainya.

Menjelang 1994, saya sudah mula menyedari keunikan dan kelebihan yang berjaya dikesan pengkaji dan peminat sastera kebangsaan dalam karya saya. Rupa-rupanya sejak 1970-an, cerpen penulis India kurang berjaya memaparkan realiti budaya kaum itu di Malaysia. Selain itu, hanya kehidupan orang Tamil diketengahkan manakala komuniti minoriti seperti Malayali dan Telugu dipinggirkan. Anehnya, hal sama berlaku apabila penulis merupakan orang Malayali dan Telugu yang berkarya dalam bahasa kebangsaan atau Tamil.

Hakikat ini turut saya lihat secara mendalam sewaktu menyiapkan kajian tesis sarjana sastera mengenai penglibatan kaum India dalam sastera kebangsaan sejak zaman Munsyi Abdullah. Kajian itu diterbitkan sebagai buku dengan judul Kavya Sastra (2021).

Saya turut meneliti karya Tamil oleh penulis tempatan. Nampaknya, masalah sama sudah menjadi kebiasaan di sana juga. Sementara beberapa penulis Tamil cuba mengangkat watak dan budaya kaum Melayu dan Cina dalam karya, realiti kewujudan orang Malayali dan Telugu pula seolah-olah sengaja diabaikan.

Maklumat terperinci mengenai sejarah dan situasi semasa kaum India di Malaysia dihurai dalam buku Suvarna Bhumi (2022). Sejarah membuktikan orang British membawa orang Tamil dan kemudian orang Telugu ke Malaya sebagai buruh dan kuli tidak berpendidikan. Kemudian, golongan Malayali dan Ceylonese (Sri Lanka) yang berpendidikan dibawa untuk mengisi jawatan lebih tinggi seperti kerani dan pembantu perubatan.

Ternyata wujud lompong dalam hubungan antara golongan kuli dan pekerja berpendidikan.

Memandangkan rata-rata penulis karya Tamil adalah orang Tamil dengan latar belakang kehidupan di estet, maka gambaran negatif tentang orang Eropah, Malayali dan Tamil Sri Lanka sudah menjadi semacam kelaziman yang diterima umum. Novel Tamil tempatan sejak dahulu amat kurang memberi ruang kepada watak Malayali. Saya dapati watak Malayali muncul sedikit dalam novel Puuci (1972) karya Karaikilar dan Tondan (1979) karya A. Kandan.

HABUAN SEKS

Antara penulis Tamil terkenal dan disegani ialah M. Ramaiah. Dalam cerpen bertajuk Um (1979), watak pegawai kesihatan keturunan Malayali digambarkan sebagai individu yang mahu mendapatkan habuan seks daripada kuli wanita keturunan Tamil. Dalam realiti, selain orang Tamil dan Telugu, ramai juga orang Malayali menjadi buruh dan kuli di ladang getah pada masa dahulu. Saya menulis rencana khas mengenai hal itu dalam buku Suvarna Bhumi untuk membuka mata masyarakat.

Namun begitu, citra yang ditonjolkan dalam karya Tamil seolah-olah semua orang Malayali menjadi kerani, kangani dan pembantu perubatan, serta sentiasa menindas kuli iaitu orang Tamil. Gambaran stereotaip seperti itu amat nyata dalam karya S. Vadiveloo yang disebut sebagai ‘penulis terpenting dalam perkembangan cerpen bahasa Tamil’ (Dewan Sastera, Januari 1985). Beliau guru sekolah Tamil dan menulis sejak 1950-an. Vadiveloo pernah menjadi Presiden Persatuan Penulis Tamil Malaysia (1974-1980) dan Presiden Persatuan Penulis Tamil Negeri Sembilan (1983-1986). Hasil tulisannya dipandang tinggi dan dianggap sebagai mewakili realiti hidup kaum India di Malaysia.

Malangnya, Vadiveloo ketara menampilkan orang Malayali dan Tamil Sri Lanka sebagai ‘golongan elit’ yang kononnya sentiasa menindas dan mencabul hak asasi buruh Tamil di ladang getah. Golongan wanita pula selalu dieksploitasi secara seksual oleh watak Malayali.

Saya berpeluang meneliti kumpulan cerpen Valluvarin Kaadali (1964), Irandda Ulagam (1970) dan Puthiya Pathai (1981) yang diraikan sebagai karya hebat dan mencitrakan realiti kaum India di Malaysia.

Sebagai orang Malayali dan tahu pula sejarah serta fakta berdasarkan kajian ilmiah dan kerja lapangan, saya berani katakan bahawa karya-karya Vadiveloo yang dianggap ‘penulis berjiwa masyarakat’ sebenarnya berjaya meracuni minda pembaca Tamil supaya prejudis terhadap orang Malayali.

Cerpen seperti Muundru Talaimurai (Tiga Keturunan), Taayum Magalum (Emak dan Anak Gadis) serta Puthiya Pathai (Jalan Baharu) boleh dijadikan contoh untuk membuktikan hujah saya.

Watak golongan elit termasuk Malayali sentiasa diberi imej paling jahat dan negatif. Misalnya, watak kerani tidak menghormati kuli Tamil yang tua; kerani sengaja membiarkan kuli Tamil bergaduh; wanita Tamil yang mengandung dipaksa bekerja keras; kerani merogol watak wanita Tamil; malah kerani meminta habuan seks daripada seorang ibu dan anak gadisnya. Maka, tidak hairanlah kemunculan cerpen seperti Nayagi dan Doa Tahun Baru dilihat oleh peneliti sastera tanah air sebagai membawa nafas baharu dalam mengangkat realiti hidup kaum India di Malaysia.

Kini, sejumlah 11 cerpen saya diterjemah kepada bahasa Inggeris dalam buku berjudul The Painted Cat. Semoga usaha ini turut membantu dunia luar memahami realiti sebenar kaum India di Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×