KOTA BHARU: Pas Kelantan mengesahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju untuk memberi dua lagi kerusi milik mereka kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Timbalan Persuruhjayanya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun dua kerusi yang dimaksudkan itu tersebut masih belum dimuktamadkan.
Menurutnya, kerusi yang diminta oleh Pas itu masing-masing melibatkan DUN di Parlimen Jeli dan Gua Musang yang sebelum ini telah dipersetujui secara bersama untuk diserahkan kepada Bersatu.
“Kita risau jika Pas tidak bertanding di salah satu daripada tiga kerusi DUN di kedua-dua kawasan parlimen yang telah diserahkan kepada Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, moral petugas dan penyokong Pas mungkin menurun.
“Jadi kita merasakan Pas perlu ada satu kerusi di setiap kawasan parlimen berkenaan supaya dapat menyuntik semangat yang tinggi kepada ahli-ahli dan petugas parti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Besar itu memberitahu pada dasarnya agihan kerusi antara pihaknya dengan Bersatu di negeri ini sudah selesai dan menunggu keputusan berhubung perkara tersebut.
Katanya, beliau dimaklumkan agihan kerusi antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi semua negeri yang bakal mengadakan PRN sudah 95 peratus selesai.
“Saya turut dimaklumkan bahawa ada beberapa isu pertindihan kerusi di setiap negeri yang bakal mengadakan PRN. Boleh dikatakan setiap negeri ada isu yang sama.
“Kita ada kerusi yang kita mahu dan mereka (Bersatu dan Gerakan) pun ada sama. Itu yang menjadi punca perbincangan mengenai agihan kerusi belum selesai sepenuhnya,” ujarnya.-UTUSAN










