MUSTAHILKAH penyokong DAP dan UMNO saling menyokong calon masing-masing pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan datang? Pada hakikatnya, kerusi yang dipertandingkan oleh UMNO dan DAP jarang-jarang bertindih antara sama lain. UMNO sering bertanding di kawasan luar bandar yang majoriti pengundinya orang Melayu manakala DAP lazimnya bertanding di kawasan bandar yang menjadi tumpuan pengundi Cina.
Di kerusi-kerusi campuran pula, Barisan Nasional (BN) biasanya menyerahkan tugasan bertanding kepada MCA dan Gerakan (semasa jadi komponen BN). DAP hanya melawan MCA dan Gerakan. UMNO bukan musuh langsung DAP dalam pilihan raya.
Sejak 1999, disebabkan PKR diberi laluan untuk bertanding di sebahagian besar kerusi pengundi campuran, maka perkembangan ini telah mengehadkan usaha DAP untuk memperluaskan pengaruhnya.
Bagaimanapun, konfrontasi antara DAP dan UMNO yang paling sengit pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969. Pada PRU itu, kedua-dua parti bersaing hebat dalam lima kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kerusi-kerusi yang menjadi rebutan kedua-dua parti pada masa itu merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu dan pengundi campuran. Dalam pilihan raya tersebut, DAP menghantar calon Melayu untuk bertanding di kerusi pengundi Melayu. DAP berjaya mengalahkan UMNO di DUN Jalan Tapah, Perak dan DUN Si Rusa, Negeri Sembilan. Namun demikian, setelah pengaruh UMNO berkembang luas dalam kalangan masyarakat Melayu selepas 1969, DAP hampir kehilangan semua peluang untuk mendekati pengundi Melayu.
Akan tetapi, selepas pembentukan Pakatan Rakyat (PR), DAP berpeluang diterima semula oleh pengundi Melayu di bawah bantuan Pas dan PKR. Pada PRU 1974, BN diketuai UMNO menyerap Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP) sebagai anggota parti pemerintah yang baharu.
DAP langsung ditolak keluar pintu BN. Namun, selaku parti pembangkang yang mempunyai perwakilan paling signifikan, DAP dengan beraninya menyuarakan pandangan rakyat di Parlimen walaupun isu-isu dikemukakan itu mungkin berbaur sensitif. Maka tidak hairanlah dengan cepatnya DAP menjadi tikaman ahli-ahli Parlimen UMNO. Persengketaan politik antara parti pemerintah dan parti pembangkang terus berlaku sepanjang zaman UMNO mendominasi Kerajaan Persekutuan.
Kadangkala untuk menarik perhatian dan sokongan masyarakat Melayu, sesetengah ahli Parlimen UMNO asyik mengemukakan retorik yang didapati mengancam kepentingan masyarakat bukan Melayu. Atas sebab sering bertikam lidah dengan UMNO, DAP kemudiannya dilabelkan anti-UMNO dan anti-Melayu.
Sesungguhnya, walaupun DAP banyak berhasil menumpaskan parti-parti Cina dalam BN untuk satu jangka masa agak panjang, akan tetapi ia tidak terdaya untuk menggoncang kedudukan UMNO sebagai tonggak kerajaan memerintah. Selepas 1969, pertempuran langsung DAP dengan UMNO hampir tidak wujud sehingga milenium baharu.
PERANG MULUT
Pada PRU 2013, Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Othman mencabar Tan Sri Lim Kit Siang dari DAP di kerusi Parlimen Gelang Patah. Pada masa itu, 50 peratus pengundi Gelang Patah merupakan kaum Cina. Akhirnya, Kit Siang menang kerusi itu.
Untuk PRU 2018, calon DAP berlawan calon UMNO di kerusi Parlimen Tenom, Sabah. Calon DAP hampir memperoleh kemenangan dalam pertempuran itu. Pada tahun sama, UMNO menggantikan MIC untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands melawan DAP. Kali ini, UMNO berjaya mempertahankan kerusi tradisinya menjadi kemenangan BN. Selepas itu, dalam kebanyakan masa, DAP dan UMNO hanya berperang mulut dalam media massa.
Selepas PRU 2022, berikutan pembentukan gagasan Pakatan Harapan (PH), bilangan kerusi yang dipertandingkan DAP bertambah. Selain mengekalkan perlawanannya dengan UMNO di kerusi Tenom dan Cameron Highlands, DAP turut mencabar UMNO di Lahad Datu, Gerik, Lipis, Pontian dan Mersing. Walaupun tidak berjaya menundukkan calon-calon UMNO, namun DAP berjaya mengekalkan wang depositnya.
Disebabkan kemerosotan pengaruh UMNO dalam kalangan pengundi Melayu, parti itu mengalami kekalahan dua kali berturut-turut dalam PRU. Semenjak itu, topik retorik yang dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin UMNO tidak lagi menarik minat masyarakat Melayu seperti dahulu. Padahal, kes rasuah sesetengah pemimpin UMNO lebih menjadi perhatian umum.
Pada pendapat saya, berikutan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) dalam politik pada PRU15, sesungguhnya DAP bukan lagi musuh imaginatif UMNO. Sebaliknya, musuh bersama mereka sekarang ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Di bawah rangka kuasa kerajaan perpaduan, UMNO sangat memerlukan sokongan masyarakat bukan Melayu untuk memantapkan kelangsungan parti itu. Kebetulan dalam hal ini, DAP dapat menghulurkan bantuan berguna kepada UMNO.
Memang benar sebelum ini kedua-dua parti itu sering bertelingkah dan berdendam. Akan tetapi, ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk menjalin kerjasama baharu bagi meraih kemenangan PRN di enam negeri nanti.
Apakah manfaat kerjasama politik jika DAP dan UMNO menggembleng tenaga dalam PRN akan datang? Ini boleh ditinjau daripada keputusan PRN di Perak dan Pahang yang lepas.
Dalam PRN 2022 di kerusi DUN Changkat Jong, Perak dan Pulau Manis, Pahang, DAP dan UMNO masing-masing kecundang kepada calon Pas. Jikalau undi dikutip DAP dan UMNO di Changkat Jong disatukan, maka mereka dapat mengalahkan Pas dengan lebihan 10,000 undi. Di Pulau Manis pula, lebihan undi Pas akan dikurangkan menjadi 2,000 jika kedua-dua parti itu bergabung.
Sekiranya DAP dan UMNO sanggup bersepakat, bak kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh, politik tanah air tentu akan kembali menjadi stabil. – UTUSAN
Dr. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










