PETALING JAYA: Hanya satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai tahap celik kewangan yang tinggi, sekali gus menunjukkan kurangnya kesedaran untuk menabung.
Kelemahan itu turut dipengaruhi kecetekan pengetahuan tentang isu kewangan dan sikap berbelanja melebihi kemampuan menggunakan kad kredit serta berhutang dengan ah long.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya Prof. Datuk Dr. Norma Mansor berkata, paling membimbangkan bilangan muflis dalam kalangan rakyat semakin tinggi disebabkan sikap suka berhutang.
Katanya, kajian menunjukkan 52 peratus responden mengakui berdepan kesukaran mengumpul RM1,000 jika berlaku kecemasan manakala 24 peratus yakin dapat memenuhi obligasi kewangan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan jika hilang punca pendapatan.
“Masalah sikap yang berlaku bagaimanapun bukanlah alasan untuk tidak merancang kewangan peribadi bagi setiap individu. Justeru, buku panduan Belanjawanku diterbitkan dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertujuan memberikan pengetahuan kewangan kepada rakyat Malaysia.
“Salah satu sebab (diterbitkan panduan Belanjawanku) kita nak tunjukkan bahawa masalah bankrap dalam kalangan rakyat Malaysia tinggi selain mempunyai sifat suka berhutang. Ditambah pula dengan gaji yang tidak begitu meningkat mengikut kos sara hidup masa kini sejak 20 sehingga 30 tahun lalu.
“Paling membimbangkan apabila kajian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan bahawa hanya satu daripada tiga rakyat Malaysia yang celik kewangan, sekali gus menunjukkan tahap kesedaran untuk menabung dalam kalangan rakyat kita terlalu rendah,” katanya baru-baru ini.
Dalam pada itu, jelas Norma, dengan adanya buku dan aplikasi Belanjawanku, rakyat boleh merancang kewangan dan kesejahteraan hidup.
“Di negara maju pun memang ada kaedah seumpama ini yang dipanggil rujukan bajet untuk dijadikan panduan dan ia bukannya satu arahan,” jelasnya.
Sementara itu Norma berkata, pelaksanaan skim pencen sosial perlu dilaksanakan segera bagi memastikan rakyat menikmati hari tua yang lebih selesa.
Menurutnya, skim tersebut yang diberikan kepada penduduk yang sudah mencapai usia persaraan dapat dijadikan sebahagian pendapatan selepas tidak bekerja tanpa perlu bergantung kepada simpanan KWSP semata-mata.
“Dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB), pendapatan untuk orang tua adalah sesuatu yang wajib sebabnya apabila sudah tua dan tidak boleh bekerja, mereka memerlukan bantuan. Lagipun mereka tetap ada memberi sumbangan (bina negara).
“Jadi kami cadangkan kepada kerajaan supaya memberikan pencen sosial kepada semua rakyat Malaysia (umur persaraan) dan bukannya penjawat awam sahaja.
“Kami cadangkan penerima skim ini diberikan RM150. Tapi sekarang ada yang mencadangkan RM400 sebulan,” katanya.
Berdasarkan data setakat 31 Disember tahun lalu, hanya 19 peratus daripada ahli KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur bagi membolehkan mereka mempunyai simpanan RM240,000 pada usia 55 tahun.
Dalam pada itu Norma berkata, indeks kesejahteraan di negara ini dijangka berlaku penyusutan merosot sehingga ke tahap bencana seandainya tiada perubahan polisi dibuat kerajaan.
“Seandainya perangai kita masih seperti sekarang ( tiada kesedaran aspek kewangan) dan polisi pun macam sekarang, kita berdepan kesukaran kerana tempoh penuaan berlaku pantas.
“Kita akan berdepan dengan pelbagai isu. Tidak mustahil ia menjadi satu bencana untuk lima tahun akan datang. Ditambah dengan kadar hutang yang tinggi dalam kalangan individu. Ditambah isu kesihatan lagi. Lagipun masalah penyakit bukan berjangkit (NCD) sentiasa berlaku peningkatan.
“Takkan kerajaan perlu sentiasa memberi jaminan apabila negara dan rakyat dalam bencana. Itu bukan kerja kerajaan. Kerja kerajaan sepatutnya sentiasa menyediakan persekitaran dimana ekonomi boleh berkembang. Lepas itu kenakan cukai (kepada industri dan orang kaya) serta beri semula kepada golongan yang susah (bantuan),” ujarnya. – UTUSAN










