PETALING JAYA: Peruntukan kewangan menjadi halangan utama untuk mencapai matlamat digariskan menerusi Kertas Putih Kesihatan dalam merefomasikan sektor kesihatan awam negara ini.
Ketika ini setiap tahun kerajaan hanya membelanjakan 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk kesihatan awam, menimbulkan persoalan bagaimana perancangan Kertas Putih boleh dilaksanakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, walaupun Kertas Putih Kesihatan dirangka secara komprehensif serta mengenal pasti isu cabaran masa kini dan akan datang namun perkara itu mesti mempunyai dana.
Menurut beliau, kualiti perkhidmatan kesihatan hanya dapat ditingkatkan sekiranya strategi dirancang menerusi Kertas Putih Kesihatan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Namun dengan bajet sekarang cuma RM20 bilion setahun untuk tambah baik fasiliti, pendigitalan kesihatan dan sumber manusia, matlamat melaksanakan semua seperti dinyatakan Kertas Putih Kesihatan memang tidak cukup,” kata beliau.
Menurut beliau, sebagai contoh menerusi cadangan Kertas Putih Kesihatan mahu mentransformasikan penyampaian perkhidmatan terutamanya dengan memperuntukkan lebih banyak sumber untuk kesihatan seperti pembiayaan, sumber manusia, fasiliti dan kelengkapan peralatan.
EKONOMI
“Mungkin perlukan dua kali ganda daripada apa yang diperuntukkan sekarang dan tidak mungkin kerajaan boleh tingkat lebih banyak lagi dalam keadaan ekonomi semasa.
“Rancangan atas kertas memang bagus, tetapi apabila mahu laksanakan mesti guna duit. Dalam Kertas Putih pula tidak nampak lagi macam mana mahu biaya strategi dan perancangan itu, kalau mahu harapkan bajet sekarang, memang tidak boleh, jadi kena tambah.
“Tetapi, kalau mahu tambah bajet, di mana pula mahu cari duit. Oleh itu kena ada strategi untuk cari bajet, jika tidak sekadar atas kertas sahaja,” katanya.
Oleh itu, Dr. Zainal berpendapat, strategi Kertas Putih Kesihatan tidak akan mengubah sektor kesihatan jika kerajaan tidak mampu menambah bajet kepada Kementerian Kesihatan.
Kelmarin Menteri Kesihatan, sidang Dewan Rakyat terakhir minggu ini meluluskan Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan Dr. Zaliha Mustafa. Deraf Kertas Putih Kesihatan.
Kertas Putih Kesihatan yang dimuatnaik dalam laman web kementerian menggariskan empat tonggak dan 15 strategi antara lain menyentuh kadar fi di fasiliti kesihatan awam dan kajian semula komprehensif pengambilan perjawatan petugas kesihatan termasuk berstatus kontrak serta membangunkan pakej manfaat kesihatan rakyat.
REFORMASI
Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr. Azizi Ayob berkata, strategi reformasi kesihatan awam menerusi Kertas Putih Kesihatan masih ‘kabur’.
“Kertas Putih ini sebenarnya satu working document, tetapi tidak dijelaskan apa yang akan dilakukan, tidak spesifik, tidak sebut siapa yang bertanggungjawab untuk melaksanakan…sepatutnya semua ini sudah kena ada dalam Kertas Putih Kesihatan.
“Pelan tindakan pula lebih kepada konsep sahaja…strategi langsung belum jelas. Misalnya mahu melakukan penstrukturan semula sistem penjagaan kesihatan, tetapi apa perkara yang mahu diubah itu? Perkara itu tidak ditulis.
“Selain itu, ada strategi mahu memantapkan, tetapi memantapkan itu pernyataan, kena perincikan terutamanya adakah dari segi tempoh masa. Semua ini penting, kalau tidak bagaimana mahu katakan apa yang boleh diaspirasikan itu dicapai sekiranya tidak ada sasaran,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Dr. Azizi berkata, strategi yang tidak jelas itu juga menimbulkan persoalan bagaimana pencapaian peningkatan sektor kesihatan dapat diukur.
KONSEP
“Kertas Putih akan tinggal konsep saja sekiranya pihak yang membangunkannya tidak memperincikan apa yang mahu dilakukan.
“Sebab tidak ada kayu pengukur, ada pelan tindakan, tetapi tidak ada bagaimana mahu mengukur pencapaian.
“Sepatutnya kena perincikan dengan kelas dan kena ada objektif untuk setiap pelan tindakan dalam fasa itu dapat dicapai,” katanya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) mengharapkan kerjasama sektor awam dan swasta dapat dipereratkan dengan adanya Kertas Putih berkenaan.
Presidennya, Dr. Boi Saidi Abdul Razak berkata, kerjasama i dapat memberikan impak kesihatan yang besar secara holistik.
Katanya, ia selaras dengan tunggak satu iaitu mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan antara lain mengutamakan penjagaan kesihatan primer serta mempergiat kerjasama awam-swasta yang efektif.
“Sejarah juga menunjukkan klinik swasta telah turut membantu dan bekerjasama dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada rakyat Malaysia dan difahamkan, program kerjasama vaksinasi Kementerian Kesihatan dan klinik swasta ini diakui sangat efektif.
“Secara amnya, Perdim berharap reformasi kesihatan di negara ini dapat direalisasikan dan kerjasama pihak kerajaan-swasta dapat dioptimalkan supaya rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik,” katanya. – UTUSAN










