Ubah polisi fiskal rancakkan ekonomi

Ubah polisi fiskal rancakkan ekonomi

CUKAI khas sawit boleh dianggap sebagai satu tanggungjawab sosial korporat pemain industri itu kepada rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan iaitu sekitar empat hingga lima peratus tahun ini boleh dielak jika kerajaan me­laksanakan dasar fiskal dan monetari yang lebih anjal dan lebih proaktif.

Dalam masa yang sama, beberapa sektor termasuk pertanian perlu diperkasakan bagi mengelak Malaysia terus terkesan daripada situasi ekonomi global yang perlahan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, situasi ekonomi global yang perlahan disebabkan krisis geopolitik pelbagai negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

FAEDAH

Malah, katanya, jangkaan per­tumbuhan tersebut juga disebabkan kenaikan kadar faedah oleh banyak bank pusat seluruh dunia.

“Pada 2022, jumlah perdagangan bernilai RM2.8 trilion itu sejajar dengan pertumbuhan positif KDNK negara pada tahun itu sebanyak 8.7 peratus, antara pertumbuhan tertinggi di kala­ngan negara ASEAN.

“Namun tahun ini, walaupun dijangka pertumbuhan KDNK kekal positif dan jumlah perdagangan akan turut bertambah, kadar pertumbuhan tersebut dijangka lebih perlahan dari tahun lepas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan perdagangan Malaysia yang dikeluarkan Isnin lepas, menyaksikan negara mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM2.8 trilion dengan nilai eksport RM1.6 trilion dan import bernilai RM1.3 trilion pada 2022.

Prestasi eksport Malaysia pada 2022 meningkat sebanyak 25 peratus berbanding RM1.2 trilion pada tahun sebelumnya, yang disokong oleh eksport litar elektronik bersepadu yang kukuh di Pulau Pinang dan Selangor, selain keluaran petroleum bertapis di Johor.

Import pada 2022 pula meningkat 31.3 peratus berbanding RM987.3 billion pada tahun sebelumnya, yang disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik lain di Selangor serta litar elektronik bersepadu di Pulau Pinang, selain keluaran petroleum bertapis di Johor.

EKUITI

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, kerajaan dan Bank Negara (BNM) harus meneroka sistem fiskal dan monetari yang lebih bagus dan beralih daripada sistem berasaskan hutang kepada sistem berasaskan perkongsian ekuiti.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ekonomi negara secara dasarnya berkembang dengan agak baik dalam tempoh enam bulan ini.

Bagaimanapun, katanya, ter­dapat beberapa sektor yang masih perlahan dan kurang pe­ningkatan seperti sektor kelapa sawit.

“Perkara ini sebenarnya ada dua faktor iaitu nilai mata wang yang rendah dan saingan daripada Indonesia yang merupakan pengeluar minyak sawit terdekat dan terbesar.

“Pada pandangan saya kebanyakan industri sudah pulih, cuma beberapa industri masih perlukan suntikan. Ekonomi kita telah berkembang, cuma kena beri perhatian dan pengawasan supaya ia terus berkembang dan tidak statik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini