Taraf gaji lepasan U sama dengan SPM

Taraf gaji lepasan U sama dengan SPM

Ada lepasan SPM tidak berminat sambung pelajaran kerana gaji yang ditawarkan untuk lepasan universiti adalah setaraf SPM. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gaji yang ditawarkan kepada lepasan pengajian tinggi hanya setanding dengan taraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara faktor pelajar tidak mahu meneruskan pengajian ke peringkat universiti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, pemikiran remaja lepasan SPM dipengaruhi oleh gaji dan kerja yang ditawarkan pada masa ini.

“Mereka berasa tidak berbaloi untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti kerana akhirnya gaji yang ditawarkan tidak begitu ketara perbezaannya dengan taraf SPM.

“Tambahan pula, masih ramai anak muda yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi namun hanya bekerja setaraf lepasan SPM menyebabkan pemikiran mereka untuk mendapat peluang pekerjaan dalam bidang yang diceburi adalah sukar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Berdasar analisis Kementerian Pendidikan (KPM), calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lalu bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar.

Hasil pemantauan mendapati purata gaji yang ditawarkan kepada lepasan pengajian tinggi majoritinya adalah bawah RM2,000 berbanding gaji individu yang bekerja sebagai penjual penapis air sebanyak RM5,000 sebulan dengan hanya perlu menjual 10 unit penapis air.

Sementara itu, laporan Kebolehpasaran Graduan yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2020 menunjukkan gaji permulaan siswazah baru di bawah RM2,000 adalah sebanyak 53.6 peratus, manakala gaji antara RM 2,001 hingga RM 3,000 (31.8 peratus) dan bagi gaji RM3,000 ke atas hanya 14.6 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd. Azizee berkata, dengan kemudahan kerja dalam sektor perkhidmatan seperti e-Hailing dan p-Hailing juga antara perkara yang mempengaruhi pelajar ini.

“Disebabkan mudah mendapatkan kerja dalam bidang perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan, mereka merasa tidak perlu menyambung ke peringkat seterusnya.

“Tambahan pula, dengan kemunculan fenomena baharu iaitu pempengaruh telah mendorong mereka untuk mendapatkan duit dengan lebih mudah dan cepat,” katanya.

Namun Azizee menegaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengumpul data pelajar yang tidak menyambung pelajaran ini dan melakukan apa-apa plan tindakan jangka masa panjang.

“Fenomena ini tidak sihat dalam pasaran pembangunan negara kita. Negara akan kerugian tenaga pakar dan mahir untuk membangunkan negara ini sekiranya ramai lepasan SPM tidak mempunyai keinginan meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, kaunselor perlu memainkan peranan memberi kesedaran kepada remaja lepasan SPM untuk berfikiran jauh berkaitan gaji yang ditawarkan.

“Walaupun gaji permulaan yang ditawarkan oleh majikan adalah setaraf SPM namun, ia akan meningkat selepas satu atau dua tahun kerana lepasan pengajian tinggi mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang lebih tinggi dalam bidang tersebut.

Jasni berkata, pekerjaan melalui e-hailing dan p-hailing adalah bersifat sementara kerana negara akan berkembang dengan lebih maju selepas ini.

“Berkemungkinan perkhidmatan itu juga akan bertukar kepada penggunaan robot dan dron tanpa memerlukan tenaga manusia.

“Malah, negara lebih memerlukan tenaga pakar dalam bidang penciptaan Kecerdasan Buatan (AI) berbanding pengguna AI,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×