Kedah ‘terlepas bot’ tuntut P. Pinang

Kedah ‘terlepas bot’ tuntut P. Pinang

KEDAH terlepas peluang keemasan untuk mendapatkan semula Pulau Pinang sebelum Persekutuan Tanah Melayu menuntut kemerdekaan negara. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU Pinang mempunyai sempadan dengan Kedah di sebelah utara dan timur serta bersempadan dengan Perak di sebelah selatan, manakala sempadan laut Selat Melaka bagi tanah bahagian pulau. Pada asalnya batu sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang terletak di Kampung Paya Sementol, Pinang Tunggal, Seberang Perai. Batu sempadan itu dipercayai dibina oleh British dan Siam sekitar 1831, masih lagi wujud sehingga sekarang.

Bagaimanapun, pada 1985, kawasan sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang diubah menerusi satu pindaan undang-undang dikenali sebagai Akta 325, iaitu Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan).

KEDAH HILANG KUASA

Pada 1822, Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) secara terang-terangan menunjukkan warna sebenar mereka apabila membantu Siam menyerang Kedah dalam Perang Musuh Bisik. Peperangan selama 20 tahun itu mengakibatkan Sultan Kedah berlindung di Pulau Pinang kerana bumi Kedah telah dijarah dengan kejam oleh Siam.

Pada 1826, Inggeris mengukuhkan penguasaannya di Pulau Pinang dengan pembentukan Negeri-Negeri Selat. Maka bermulanya Kedah ‘kehilangan’ Pulau Pinang kerana SHTI telah mentadbir Pulau Pinang secara mutlak selain Melaka dan Singapura. SHTI kemudiannya membawa masuk ribuan imigran asing, mengeluarkan geran tanah dan menjualnya sesuka hati kepada sesiapa pun, memberi kebebasan kepada golongan ahli perniagaan asing membina rumah agam mewah, gudang dan rumah kedai dalam bandar Tanjong. Kebanyakan bangunan dan rumah mewah itu masih kekal sehingga sekarang.

KEDAH TERLEPAS PELUANG

Sebenarnya Kedah terlepas peluang keemasan untuk mendapatkan semula Pulau Pinang sebelum Persekutuan Tanah Melayu menuntut kemerdekaan negara dan memasukkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pada 1956, UMNO Bahagian Pulau Pinang menghantar memorandum kepada Sultan Kedah supaya menuntut semula Pulau Pinang menjadi wilayah Kedah. UMNO membuat gesaan itu kerana membantah kegiatan pihak tertentu yang menubuhkan Jawatankuasa Pengasingan Pulau Pinang dan mahukan Pulau Pinang dimerdekakan secara berasingan dan dipisahkan daripada Persekutuan Tanah Melayu.

Mohd. Yussof berkata, peristiwa penyerahan memorandum kepada Sultan Kedah melalui UMNO Kedah itu berlaku ketika Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sedang berunding dengan British untuk kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Terdapat masyarakat elit bukan Melayu yang mahukan British menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negara merdeka di bawah naungan British dan terpisah daripada Tanah Melayu. Mereka melancarkan kempen Gerakan Merdeka Pulau Pinang.

Gerakan itu dipimpin oleh Heah Joo Seang, iaitu Presiden Persatuan Cina Negeri-Negeri Selat British Pulau Pinang. Pada pertengahan Januari 1956, Joo Seang yang juga Presiden Persekutuan Pengusaha Getah Pulau Pinang pergi ke London bagi menyerahkan petisyen menggesa British mengkaji semula kedudukan Pulau Pinang dalam Persekutuan Tanah Melayu dan beliau turut memberi penekanan mengenai status kewarganegaraan Negeri Selat British di Tanah Melayu.

Tindakan kumpulan pemisah itu mendapat reaksi orang Melayu. UMNO Bahagian Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar. Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pulau Pinang, Mustapha Hamidon membentangkan usul agar Pulau Pinang diserahkan kembali kepada kerajaan Sultan Kedah.

Antara kandungan usul itu ialah menggesa Istana Kedah menuntut kembali Pulau Pinang sebagai wilayah di bawah kerajaan Sultan Kedah atas fakta jika benar wujudnya Perjanjian 1786 antara Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah dengan Francis Light yang mewakili SHTI, sebenarnya telah lama terbatal dan tidak sah. Ini kerana Sultan Kedah membenarkan SHTI menduduki Pulau Pinang dengan syarat syarikat itu memberi perlindungan dan SHTI pula bersetuju membayar pajakan sebanyak 10,000 wang Sepanyol setahun. Bagaimanapun, perjanjian itu dikhianati pada 1790 apabila SHTI tidak melindungi Kedah daripada serangan musuh malah bersubahat dengan Siam menyerang Kedah.

Menurut Mohd. Yussof, jika benar ia wujud sekalipun, perjanjian itu juga tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mempunyai tempoh kontrak.

Selain itu, jika benar wujudnya perjanjian, ia hanya melibatkan Light yang mewakil SHTI dengan Istana Kedah. SHTI telah ditutup pada 1858, maka bermakna perjanjian itu tidak lagi terpakai.

Bertindak atas memorandum itu, pada 8 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di majlis menandatangani persetujuan kemerdekaan negara di Lancaster House, London menyifatkannya sebagai satu tanda mengembalikan Pulau Pinang kepada Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman berkata, jika datuknya yang memerintah Kedah ketika itu menurunkan tandatangan untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada British, kini beliau pula menurunkan tandatangan perjanjian memulangkan semula Pulau Pinang kepada Tanah Melayu.

Kenyataan tegas Tunku Abdul Rahman itu ibarat menutup kes dan kumpulan pemisah terbabit tidak lagi bersuara sehinggalah Pulau Pinang terus kekal dan dijadikan sebagai salah sebuah negeri dalam Tanah Melayu seterusnya merdeka bersama Malaya pada 31 Ogos 1957.

PULAU PINANG DALAM PERSEKUTUAN

Setelah British bersetuju dengan permintaan Tunku Abdul Rahma, maka Pulau Pinang termateri sebagai salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan kemudiannya dalam Malaysia di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, bagi mengenang sejarah Pulau Pinang yang asalnya milik Kedah, nama Sultan Kedah ke-28, Al-Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah diabadikan pada dua infra terpenting di Pulau Pinang, iaitu Pangkalan Feri Sultan Abdul Halim dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

KESIMPULAN

Suara-suara kononnya Pulau Pinang masih milik Kedah adalah ibarat terlepas bot. Kedah sepatutnya mempunyai peluang untuk menuntut Pulau Pinang sebagai wilayah di bawah naungannya sebelum pembentukan perlembagaan kemerdekaan tetapi tidak berbuat demikian. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Setiausaha Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×