Nur Jazlan persoal ke mana sokongan DAP

Nur Jazlan persoal ke mana sokongan DAP

Nur Jazlan Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoal tindakan penyokong DAP yang sehingga hari ini masih berdiam diri sama ada menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang atau sebaliknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nur Jazlan berkata, tindakan itu berbeza dengan sebelum ini apabila penyokong parti berkenaan sering melemparkan kritikan mahupun pendirian sewaktu BN memegang pentadbiran.

“Jangan asyik tuding pada UMNO sahaja, tengok UMNO sokong DAP atau tidak, beri kerjasama atau sebaliknya, penyokong DAP kenapa diam? Kita tidak pernah dengar sebarang kenyataan daripada mereka, sokongkah mereka terhadap calon kita sewaktu PRN nanti? Sebab yang sering mengeluarkan kenyataan hanya pimpinan DAP.

“Kalau dulu, ada sahaja kenyataan yang DAP keluarkan sewaktu BN memerintah, sehinggakan penyokong dia yang NGO-NGO lalat pun sibuk juga mahu keluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kewajaran pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 bermula 7 Jun ini, sekali gus dijangka membuatkan ahli di peringkat akar umbi berkecil hati susulan masih ada lagi yang tidak mampu menerima kerjasama dengan DAP.

Terdahulu, media melaporkan buat pertama kali dalam sejarah, pemimpin DAP dan PKR akan menghadiri PAU 2023.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, presiden semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri PAU yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan turut berkata, persoalan berhubung pendirian penyokong DAP itu harus ditekankan supaya ia dijelaskan dengan sebaiknya kepada semua pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kewajaran pemimpin parti lain termasuk DAP hadir ke Perhimpunan Agung UMNO adalah sebagai ‘percubaan’ untuk menarik minat kerjasama antara kedua-dua parti itu.

“Ya, percubaannya adalah di pentas PAU 2023 dan ujiannya adalah sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Sama ada kita diterima atau tidak, kita akan lihat keputusan sewaktu PRN nanti.

“Sedangkan peralihan daripada zaman Perikatan pada 1969 kepada Barisan Nasional (BN) pun mengambil masa lima tahun untuk bekerjasama dengan semua parti, itupun tidak melibatkan DAP, inikan pula sekarang. Sudah tentu ia mengambil masa,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×