Bukan hakim sahaja perlu ‘kebal’

Bukan hakim sahaja perlu ‘kebal’

ADA kes di mana mahkamah turut bergantung kepada laporan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membuat keputusan. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PINTU mahkamah terbuka, seorang lelaki berpakaian serba kemas masuk ke ruang mahkamah. Dengan penuh keyakinan, beliau berjalan menuju ke kandang saksi. Nada yang jelas diungkap dan bergema di dalam kamar mahkamah, memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Beliau memegang satu laporan yang komprehensif, hasil penyiasatan dan pengamatan teliti. Beliau hadir atas arahan mahkamah bagi menyediakan laporan dan rekomendasi bagi membantu hakim membuat keputusan.

Sebelum pegawai membentangkan laporan, suara hakim tegas memberikan arahan, “Saksi akan membacakan laporan yang mempunyai maklumat sulit dan tidak sesuai bagi pendengaran umum. Bagi melindungi dan tidak membuka aib mereka yang terlibat dalam kes ini, saya minta orang awam untuk keluar sementara dari kamar mahkamah.” Usai arahan hakim dilaksanakan, saksi membaca laporan membongkar dan menyuluh fakta silam mereka yang terlibat tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Dalam melaksanakan keadilan, mahkamah sering bergantung kepada keterangan individu yang mampu menawarkan perspektif berkaitan sewaktu prosiding undang-undang. Para profesional ini memiliki pengetahuan dan kepakaran dalam bidang khusus berkaitan kes dihadapi.

Sewaktu saya mengendalikan kes melibatkan penentuan hak penjagaan kanak-kanak di bawah jagaan seorang aktivis terkenal, mahkamah turut bergantung kepada laporan pegawai pelindung JKM dalam membuat keputusan. Peguam aktivis cuba menghujahkan bahawa pegawai pelindung JKM telah menyediakan laporan palsu, tidak berlaku adil dan menerbitkan laporan secara niat jahat serta memberi amaran akan membuat laporan polis terhadap pegawai JKM tersebut.

Pada pandangan saya, peguam itu telah terkhilaf kerana harus diingatkan, pegawai JKM hanya melaksanakan tugas mereka sepertimana diperintahkan oleh mahkamah dan mempunyai perlindungan di bawah Seksyen 14(2) Akta Kehakiman (Akta 91) di mana ia termaktub, ‘Tiada seorang pun pegawai mana-mana mahkamah atau seorang lain yang terikat untuk melaksanakan waran atau perintah yang sah yang dibuat yang dibuat oleh mana-mana hakim atau orang lain yang bertindak secara kehakiman boleh di bawah guaman terhadapnya dalam mana-mana mahkamah sivil kerana pelaksanaan mana-mana waran atau perintah yang dia akan terikat untuk melaksanakannya jika dalam bidang kuasa orang yang mengeluarkan waran atau perintah itu.’

MAHKAMAH SYARIAH

Perlindungan ini turut dirungkaikan dalam kes Tee Yam @ Ko Tee Yam lwn. Timbalan Menteri, Menteri Keselamatan Dalam Negeri Malaysia & Ors. (2005) 5 MLJ 654 di mana mahkamah telah mengguna pakai Seksyen 14 Akta 91 bagi memberi perlindungan kepada badan penasihat di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969.

Juga kes Hodan-R Sdn. Bhd. Dato’ Mohd. Hishamudin Hj. Mohd. Yunus (2007) 2 CLJ 701 di mana mahkamah telah menerangkan bahawa perlindungan Seksyen 14(1) bukan sahaja merangkumi hakim mahkamah tinggi, ia turut meliputi hakim mahkamah rendah, majistret, pendaftar dan timbalan pendaftar.

Tuntasnya, kekebalan dan perlindungan harus meliputi bukan sahaja hakim yang memberi arahan. Ia turut diguna pakai mereka yang diberi kuasa bagi melaksanakan perintah tersebut. Namun, bagi sistem perundangan dua hala negara dengan mahkamah yang berasingan untuk urusan sivil dan undang-undang Islam, menambahkan satu lapisan kompleksiti dalam usaha mencapai keadilan. Walaupun kekebalan yang diberikan kepada hakim berfungsi sebagai perlindungan bagi memastikan kebebasan mereka, mengaplikasi konsep ini kepada hakim mahkamah syariah turut melibatkan pertimbangan yang unik.

Saya merujuk kepada kes yang belum dilaporkan jurnal undang-undang, yakni kes Tan Sri Rozali Bin Ismail lwn. Abdul Hadi Bin Hamad & Abdul Majid Bin Abdul Rahman di mana dalam kes ini, perayu telah memulakan tindakan sivil terhadap dua orang hakam yang dilantik oleh mahkamah syariah bagi membantu mahkamah membuat keputusan dalam suatu kes cerai antara perayu dan isterinya. Tindakan sivil itu adalah atas alasan kononnya hakam tersebut telah mengeluarkan dan menerbitkan pernyataan palsu dan berniat jahat.

Tindakan sivil ini telah gagal di kedua-dua peringkat mahkamah sesyen dan rayuan di mahkamah tinggi. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1985 (Akta 303) membenarkan mahkamah syariah melantik hakam bagi menjadi perantara pasangan yang bertelagah dan memberi laporan serta saranan kepada mahkamah. Hakam dalam konteks ini berfungsi untuk membantu pasangan mencapai penyelesaian yang adil dan saling bersetuju dalam perkara-perkara seperti pemeliharaan anak dan pembahagian harta sepencarian.

Dalam kes ini, hakam telah memberikan keterangan kepada mahkamah bahawa wujudnya perbalahan di antara pasangan yang berpunca daripada kedua-dua pihak dan memberikan saranan bahawa isteri perayu wajar diceraikan dengan lafaz talak. Namun dalam keterangan ini, hakam turut menyentuh kepada keperibadian perayu yang bersifat negatif dan perayu tidak berpuas hati kepada keterangan peribadi ini.

Maka antara isu perundangan yang dibawakan dalam kes ini adalah sama ada keterangan peribadi yang diungkap oleh hakam adalah dilindungi. Hakim di mahkamah tinggi sivil dalam membuat keputusan merujuk kepada Seksyen 14(1) Akta 91 mendapati bahawa hakam merupakan antara golongan pegawai kehakiman yang dilindungi di bawah Akta 91.

Dengan mempertimbangkan sifat sensitif tugas dan bidang kuasa pegawai kehakiman, jelas mereka memerlukan perlindungan sebagaimana diatur dalam Seksyen 14 Akta Kehakiman. Perlindungan ini penting untuk memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan adil tanpa rasa takut atau pilih kasih. – UTUSAN

PENULIS ialah peguam yang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×