Klinik, hospital swasta juga perlu rahmah, bukan fikir untung sahaja

Klinik, hospital swasta juga perlu rahmah, bukan fikir untung sahaja

KERAJAAN perlu mewujudkan Klinik Rahmah atau Klinik Madani sama seperti konsep Klinik 1Malaysia yang pernah wujud sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA adalah antara negara yang pernah mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan yang terbaik di rantau Pasifik Barat.

Namun, selari dengan cabaran semasa, pertambahan penduduk dan kemunculan pelbagai penyakit baharu maka kerajaan perlu meningkatkan tahap dan kualiti penjagaan kesihatan rakyat melalui perancangan pembangunan yang tuntas selari dengan perubahan gaya hidup dan profil demografi.

Usaha ini sangat penting kerana rakyat yang sihat akan dapat menyumbang dengan baik kepada negara. Rakyat yang sihat pasti dapat bekerja dengan baik dan cemerlang. Hidup juga akan lebih bahagia jika kita memiliki kesihatan yang baik.

Justeru, kerajaan perlu meningkatkan keupayaan dan liputan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih meluas kepada rakyat. Kaedah rawatan yang diberikan mestilah seiring dengan kemajuan teknologi dan rawatan perubatan terkini.

Sehubungan itu, kerajaan perlu mempunyai perancangan yang jelas dalam hal ini, bukannya dilakukan secara ad hoc sahaja. Untuk memberikan rawatan terbaik kepada rakyat khususnya pesakit yang menghidap penyakit-penyakit dianggap pembunuh, maka kita memerlukan lebih ramai pakar perubatan dan kakitangan kesihatan berkemahiran tinggi. Kerajaan perlu menangani kekurangan pakar-pakar perubatan.

Sayugia diingat, pakar perubatan bukan sahaja diperlukan di hospital-hostila utama yang bertumpu di bandar tetapi di kawasan-kawasan luar bandar juga perlu ada. Hospital di negara kita sama ada hospital kerajaan ataupun hospital swasta perlu mempunyai bilangan katil yang dapat menampung keperluan pesakit mengikut keadaan semasa dan jangkaan beberapa tahun mendatang.

Sasaran ini boleh dicapai menerusi pembinaan hospital-hospital baharu atau menaik taraf yang sedia ada mengikut keperluan sewajarnya.

Untuk mengurangkan beban di hospital-hospital yang berada di kawasan bandar, maka kerajan boleh menambah baik akses penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar dengan membina lebih banyak poliklinik atau klinik mengikut keadaan demografinya. Klinik-klinik daerah yang mengalami pertambahan kunjungan pesakit secara mendadak juga boleh dinaik taraf mengikut kesesuaian dan keperluan.

Pada hemat saya, konsep Klinik 1Malaysia bagi rawatan pesakit luar dan penyakit-penyakit ringan yang pernah diperkenalkan semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu boleh dipraktikkan dengan menggunakan nama baharu seperti Klinik Rahmah atau Klinik Madani.

Selain melihat kepada isu meningkatkan kemudahan fasiliti, kerajaan juga perlu melihat kepada sistem penyampaian kesihatan awam dan pertambahan beban kerja di hospital dan klinik kesihatan awam. Antaranya, nisbah doktor kepada penduduk perlu dipertingkat sekurang-kurangnya 1:300 atau 400.

Walaupun WHO tidak menetapkan nisbah khusus, namun negara sendiri perlu ada sasaran tersebut seperti di United Kingdom, nisbah doktor kepada penduduk adalah 1:358. Perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh sektor awam mestilah komprehensif dan pada kos berpatutan. Setakat ini diakui kos rawatan yang dikenakan oleh hospital kerajaan adalah rendah.

Bagi perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh pihak swasta pula perlu dikawal dan dipantau dengan baik supaya tidak terlalu berlebihan menumpukan kepada keuntungan.

Justeru, hospital dan klinik swasta juga patut menerapkan konsep rahmah dan kemanusian dalam perkhidmatan mereka. Ini memerlukan kesedaran daripada pengamal perubatan swasta itu sendiri.

Masyarakat juga perlu ada kesedaran yang tinggi berkaitan kepentingan menjaga kesihatan dan tanggungjawab membendung penyakit. Rakyat mesti ada pengetahuan dan kesedaran akan kepentingan menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Perlu diingatkan, aktiviti berkaitan gaya hidup sihat pada peringkat komuniti tidak akan memberi kesan signifikan sekiranya sokongan dan penglibatan masyarakat adalah rendah atau tidak meluas.

Justeru, usaha mendidik dan memberikan kesedaran kepada rakyat hendaklah dilakukan secara berterusan. Program kesedaran tentang pencegahan untuk mengurangkan penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit yang pernah dibuat kerajaan mesti diteruskan dan ditingkatkan pelaksanaan dan penyertaannya.

Seingat saya, ada beberapa program yang pernah dibuat oleh Kementerian Kesihatan melibatkan komuniti dan orang ramai seperti Program Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) bagi pencegahan demam denggi. Selain itu, program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) bagi mempromosikan kesihatan di peringkat komuniti dan Program Siswa Sihat (PROSIS) untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi.

Adalah baik Kementerian Kesihatan mengadakan kerjasama dengan sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara lebih meluas dan bersungguh-sungguh lagi supaya impaknya lebih dirasai.

Kesimpulannya, hakikat bahawa sektor kesihatan merupakan sebahagian daripada sistem sosioekonomi negara adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan sama sekali. Kemajuan dalam perkhidmatan dan penjagaan kesihatan secara langsung akan meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan melancarkan kemajuan dan pembangunan negara.

Justeru, kerajaan perlu secara berterusan menyediakan perkhidmatan dan penjagaan kesihatan berkualiti kepada rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang efisien dan cekap. Rakyat berhak untuk mendapatkan akses kesihatan yang mudah dan berkualiti. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×