KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang bila-bila masa menjadi tajuk perbualan hebat orang ramai malah berlegar secara luasnya dalam media sosial.
Namun, Anwar selaku Perdana Menteri yang menerajui kerajaan perpaduan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen menolak jangkaan tersebut sekeras-kerasnya.
Sebaliknya, beliau menegaskan dengan penuh keyakinan bahawa kepimpinannya akan terus berkuasa sehingga habis tempoh. Malah, beliau juga meramalkan calon-calon yang mewakili kerajaan kepimpinannya akan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Sementara itu, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini berlangsung dengan meriah disertai pemimpin-pemimpin utama dari 19 parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan.
Namun, Proklamasi Orang Melayu diusulkan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disokong oleh Abdul Hadi didapati lebih menarik perhatian orang ramai khususnya dalam kalangan orang Melayu daripada konvensyen kerajaan perpaduan tersebut.
Meskipun konvensyen itu dihadiri ramai ahli politik dari parti-parti gabungan kerajaan perpaduan, tetapi jelas kelihatan jiwa perjuangan politik kurang menyerlah dalam perbahasan dan ucapan para perwakilan kecuali retorik hebat Anwar.
Sehubung dengan kekuatan semasa parti-parti politik, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan sebahagian besar pengundi Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada Pas kerana mereka percaya dan yakin terhadap perjuangan parti berkenaan yang berteraskan Islam. Dengan ini, sokongan Pas terhadap Proklamasi Orang Melayu dijangka menambahkan lagi bank undi parti itu.
Sokongan Pas kepada Proklamasi Orang Melayu didakwa menimbulkan perasaan gelabah dalam kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan perpaduan kerana Pas merupakan penyokong kuat malah teras kepada kekuatan politik Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi, dalam konteks percaturan politik, langkah Pas menyokong Dr. Mahathir yang menentang kepimpinan Anwar secara terang-terangan dijangka menguntungkan PN.
SKOR GOL
Namun persoalannya, apakah realiti politik semasa? Apakah PN yang disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang mewakili sebahagian besar orang Melayu boleh mengatasi kekuatan gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang kononnya mewakili orang Melayu dan bukan Melayu pada PRN akan datang di Semenanjung? Apakah BN yang suatu ketika meraih sokongan pengundi Melayu, Cina dan India masih meraih sokongan mereka selepas PRU15?
Jawapannya, mudah sahaja. Lihat keputusan PRU15. Dari segi realiti politik, hanya ahli parti UMNO, MCA dan MIC didapati masih bersama dan menyokong BN. Pilihan pengundi umum daripada ketiga-tiga kaum tersebut pula sudah berubah dan didapati mengasingkan diri dari BN. Secara amnya, sebahagian besar pengundi Melayu yang menyokong UMNO pada suatu ketika kecuali kawasan luar bandar, kelihatan sudah beralih sokongan mereka kepada parti lain pada PRU15.
Sudah diketahui, pengundi Cina yang menyokong BN sudah lama tinggalkan BN. Begitu juga pengundi India, jelas kelihatan sudah terasing dari MIC.
Namun, sekiranya meneliti keputusan PRN Melaka pada 2021 dan PRN Johor (2022), pola pengundian di kedua-dua negeri itu menunjukkan andainya calon BN dan PH yang mewakili kerajaan perpaduan berpakat dan turun padang sebagai satu pasukan melawan calon PN, maka peluang bagi calon ‘PH plus BN’ untuk ‘skor gol’ adalah lebih cerah. Malah, ada kemungkinan besar pasukan ‘PH plus BN’ menyapu bersih kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN kecuali di Kelantan.
UKHUWAH
Perlu ingat, pembentukan kerajaan perpaduan bukanlah pilihan rakyat seperti kerajaan PN sebelumnya. Pembentukan kerajaan perpaduan adalah hasil rundingan dan kesanggupan pemimpin-pemimpin parti yang memperoleh banyak kerusi tetapi tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Dalalam lain perkataan, kerajaan semasa adalah kerajaan campuran pelbagai parti politik terutama gabungan PH, BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain.
Namun, kerjasama politik antara elit parti-parti yang membentuk kerajaan adalah kelihatan kukuh dan mantap atas permukaannya. Tetapi, semangat ukhuwah dan kerjasama antara pemimpin PH dan BN itu kurang terserlah malah kurang meresapi dalam kalangan penyokong kedua-dua parti terutama penyokong tegar UMNO di peringkat akar umbi.
Bersandarkan suasana dan suhu politik sedemikian, maka Proklamasi Orang Melayu tajaan Dr. Mahathir yang disokong oleh Pas dijangka menarik lebih ramai pengundi Melayu bersama Pas sekali gus PN menjelang PRN. Pengundi Melayu yang bukan ahli UMNO pula didapati semakin hari semakin mengalih sokongan mereka kepada PN. PN dilihat beransur-ansur mengambil tempat UMNO dalam minda sebahagian besar pengundi Melayu.
Pada masa sama, meskipun kerajaan perpaduan kurang efektif dalam menepati janji PRU15, iaitu mengatasi permasalahan harian dihadapi rakyat marhaen seperti kenaikan mendadak kos sara hidup serta harga barang keperluan asas, sebahagian besar pengundi bukan Melayu didapati lebih selesa dan puas hati terhadap kerajaan perpaduan. Malah, tindakan kerajaan kepimpinan Anwar menghapus rasuah dalam negara mendapat sanjungan tinggi daripada pengundi bukan Melayu.
Apa pun, pengundi di enam negeri yang menjadi medan pertarungan PRN nanti dijangka bukan sahaja menimbulkan satu fenomena baharu dalam politik negara di mana pengundi berbilang kaum akan dijajarkan dalam dua kumpulan ketara (watershed), iaitu kumpulan Melayu dan bukan Melayu, bahkan akan memberi isyarat terhadap kelangsungan kerajaan perpaduan. – UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.










