BERKORBAN atau terkorban menjadi hakikat perlu dihadapi Pas dalam gabungannya bersama Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Berkorban bermaksud, parti itu pasti mengulangi tindakan dilakukan terhadap rakan lamanya, PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 apabila mereka dengan rela hati menyokong Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Kerelaan Pas kerana parti itu mempunyai kerusi lebih banyak berbanding PKR walaupun berbeza cuma satu kerusi (Pas-15 dan PKR-14) selepas kedua-duanya bertanding 21 kerusi pada PRU13.
Terkorban pula bermaksud, meskipun parti itu menang paling banyak kerusi dalam PRN yang dijangka berlangsung pada Julai ini, tetapi jika PN tewas kemenangan itu menjadi sia-sia walaupun Pas memenangi kesemua kawasan yang ditandingi.
Menerusi persetujuan dalam pimpinan PN, mereka sebelum ini bersetuju supaya Selangor menjadi negeri yang ditadbir Bersatu manakala Pas dikekalkan menaungi Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Sejajar dengan hasrat tersebut, Pas dijangka bertanding 17 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sementara Bersatu pula dipercayai memilih sehingga 19 kerusi.
Bagaimanapun, terdapat satu pertindihan kerusi dipercayai DUN Pelabuhan Klang yang akan diputuskan oleh pimpinan pusat PN untuk menentukan parti mana bertanding di kawasan tersebut.
RUGI
Kerusi itu hanya akan memberi kelebihan kepada Bersatu sekiranya mereka mendapat kawasan tersebut untuk ditandingi manakala bagi Pas pula tiada yang dirasakan rugi kerana itulah sikap mereka.
Namun, kedudukan tersebut dijangka diketahui pada 24 Mei ini dalam satu mesyuarat pimpinan PN dalam menentukan hala tuju mereka pada PRN nanti.
Jika benar, Pas bertanding di 17 kawasan DUN, bermakna wujud tawar-menawar apabila terdapat dua kerusi tambahan diberikan kepada parti itu berbanding sasaran 15 kerusi pernah dimenangi sebelum ini dalam PRU13.
Tawar-menawar tersebut dipercayai melibatkan hasrat bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa hendak bertanding dalam PRN di Selangor, namun enggan mempertahan Bukit Antarabangsa.
Sebaliknya, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga dipercayai akan berpindah ke DUN Ulu Kelang iaitu kerusi yang pernah dimenangi Pas pada 2013.
Justeru, dalam masa sama kemungkinan kerusi Pelabuhan Klang akan diberikan kepada Pas dan jika parti itu serta Bersatu memenangi kesemua 37 kawasan ditandingi, Pas pasti mengulangi pengorbanannya membenarkan Bersatu mentadbir dengan perbezaan satu kerusi.
Antara kerusi yang bakal ditandingi Pas seperti Sabak, Sungai Burong, Taman Templer, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Lembah Jaya, Pandan Indah, Dusun Tua, Sungai Ramal, Seri Serdang, Seri Setia, Paya Jaras, Meru, Selat Klang, Sijangkang, Morib, Tanjung Sepat dan Pelabuhan Klang.
Sementara kawasan majoriti Melayu yang lain diserahkan kepada Bersatu untuk menentukan calon mereka.
Bagi 19 kerusi lain yang majoritinya adalah pengundi bukan Melayu akan diserahkan kepada Gerakan serta Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). – UTUSAN











