MARI kita menyusur sungai sejarah ketamadunan manusia, bermula dari empat ketamadunan awal iaitu Mesopotamia, Mesir Purba, Indus dan Huang He (Huang Ho). Diikuti ketamadunan Yunani, Islam seterusnya meliputi semua perkara yang menyerkup penghidupan manusia hingga dewasa ini. Begitupun, saya akan membincangkan hal-hal mutakhir termasuk pengalaman diri ini dalam pentadbiran negara.
Kolum bernama Jalar Fikir dari akar fikir yang bertunjangkan daya fikir, iaitu menjemput pembaca untuk sesama menggunakan akal fikiran dalam setiap isu yang saya lontarkan atau sentuh. Mungkin punyai titik temu antara pemikiran saya dengan pembaca atau sebaliknya. Apa yang penting, kita turut bersama berfikir menggunakan akal logika dalam melihat isu diutarakan supaya dapat berbincang dan menganalisis sesuatu berpandukan akal rasional.
Saya mengajak pembaca menggunakan akal yang sempurna kerana Allah memberikan manusia akal, dan tidak kepada makhluk lain. Akal adalah khazanah sangat bernilai pemberian Ilahi. Dan Allah menyuruh manusia menggunakan akal:
“Maka tidakkah kamu mahu menggunakan akal?” (Surah Al-Mukminum:79-80).
Lihat betapa Allah mengajar manusia untuk berfikir, melalui firman-Nya: “Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa rasul yang telah kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepada kamu.” (Surah Al-Nisa’:164)
Begitulah al-Quran banyak mengajar manusia untuk berfikir dengan memaparkan sejarah penghidupan umat-umat terdahulu. Mengajar manusia tentang penghidupan sempurna melalui hukum-hakam. Memberi bekalan tentang pentadbiran, keadilan, kemanusiaan, perhubungan sesama manusia, cara bernegara, menjaga alam. Semuanya diajar kepada manusia secara jelas atau secara metafora. Semuanya menuntut manusia menggunakan jalar fikir atau akal.
Banyak sekali menjadi persoalan kepada kita tentang penghidupan, permasalahan sejak dahulu hingga sekarang yang tidak mampu ditangani. Misalnya, mengapa ketamadunan yang hebat, akhirnya malap, pudar dan runtuh? Sebuah empayar yang kukuh, gagah lagi bertenaga, akhirnya mengecil, menirus, lemah dan hilang. Apakah benar seperti pendapat Ibn Khaldun dalam Muqadimah, bahawa sesebuah kerajaan seperti juga seorang manusia yang lahir ke dunia? Lahir, menjadi bayi, mendewasa, menjadi tua dan mati.
Memang secara umumnya, sesebuah kerajaan itu perjalanan hidupnya seperti ditulis oleh Ibn Khaldun (1332-1406). Tetapi itu bukannya suatu hukum yang menjadi fitrah, seperti fitrah hukum alam. Ada siang, ada malam. Kalau dilihat kerajaan sejak di zaman feudal hingga zaman moden, ia sering bertukar kerana terdapat sebab musababnya. Sebabnya begitu hampir sama. Ia berlaku kerana dihinggapi penyakit seperti korupsi, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa, perpecahan dalam masyarakat, terdapat fahaman sektarian dalam kepemimpinan, jurang perbezaan dalam menikmati kekayaan negara, jurang kemiskinan, majoriti rakyat rasa tertindas, kepemimpinan mengaut harta negara untuk memenuhi tembolok masing-masing dan lain-lain.
TRAGEDI 13 MEI
Penyakit sesebuah negara seperti di atas samalah seperti nasib menimpa manusia dalam perjalanan hidupnya. Mereka mengalami dan menghadapi penyakit. Semasa menuju dewasa, mereka melawan penyakit, semakin berumur semakin lemah melawan penyakit. Bila semakin tua, daya tahan sangat lemah dan akhirnya tunduk dan mengalah.
Penggunaan akal, persis seperti air yang mengalir dari pergunungan menuju lautan. Sentiasa mencari liku sebagai laluan menuruni cerun serta lembah. Kemudian menjadi alur, aliran, anak sungai dan sungai. Begitulah manusia dalam menggunakan akal dalam menghadapi permasalahan penghidupan. Atas perhitungan itulah, lahirnya istilah-istilah dalam penggunaan akal seperti pemikiran literal, pemikiran kreatif. Lalu memudahkan lagi menggunakan istilah ‘berfikir di luar kotak.’ Daripada bahasa Inggeris, iaitu thinking outside the box. Secara metafora membawa makna berfikir secara berbeza atau tidak secara konvensional.
Perang Dunia Kedua mengajar manusia bagaimana berfikir di luar kotak dapat mengubah pola kejadian serta tindakan. Di mana pertembungan ideologi kapitalis-komunis dapat dikendur serta dihentikan dalam menghadapi kepentingan bersama iaitu kuasa fasis Jerman, Itali dan Jepun.
Yang memainkan peranan di atas tentu sekali Joseph Stalin (1878-1953) dari (Kesatuan Soviet Sosialis Russia (USSR), Franklin Delano Roosevelt (1882-1945) dari Amerika Syarikat dan Winston Leonard Spencer Churchill (1874-1965) dari Great Britain. Bertolak dari kepentingan negara dan rakyat, mereka melupakan kepentingan ideologi sekurang-kurangnya dalam menghadapi Perang Dunia Kedua. Ternyata selepas itu, di mana persaingan ideologi dan pengaruh turut diterjemahkan melalui Perang Dingin yang membelah dunia.
Banyak saya mengambil iktibar daripada ketiga-tiga pemimpin tersebut semasa menjadi Perdana Menteri Kesembilan. Atas kepentingan negara dan bangsa, mereka boleh melupakan sepenuhnya soal ideologi dan persengketaan. Membuatkan saya terfikir, mengapa perlu membiar atau melanjutkan pertelagahan antara kerajaan dengan pembangkang? Mengapa saya tidak mencari titik temu antara kedua-duanya yang boleh mengurangkan ketegangan? Mengapa saya tidak mengikat pembangkang dengan satu persetujuan yang boleh mengendurkan suhu antara kedua-dua pihak?
Lantas saya mencari jalan temu serta titik temu dengan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik. Ia semata-mata untuk mengutip suasana aman serta memberi ruang seluas-luasnya kepada kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul kesan daripada Covid-19.
Ternyata keputusan itu mencapai matlamat, sekurang-kurang antara saya dengan pembangkang. Saya juga melihat pelbagai bangsa serta kaum di negara ini sudah terikat kukuh melalui ketamadunan Malaysia, iaitu menerima perlembagaannya, sistem raja berperlembagaan, sistem demokrasi berparlimen, Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.
Lantas saya berfikir, maka suasana yang ada ini, perlu diikat kukuh serta disimpul sepenuhnya supaya tidak terbarai perpaduannya seperti terjadi pada 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam dalam sejarah bangsa. Bertolak dari premis tersebut, saya melontarkan idea ke tengah masyarakat dengan melahirkan falsafah bangsa, iaitu Keluarga Malaysia. Bersama rakyat, saya mengajak mencungkil kesamaan dan tidak menggali perbezaan. Pastikan pembaca terus bersama saya di kolum Jalar Fikir. – UTUSAN
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah bekas Perdana Menteri Malaysia Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.










