SELAMA sembilan tahun berturut-turut, Malaysia kekal menduduki tempat pertama dalam Indikator Ekonomi Islam Global (GIEI) sebagai sebuah negara yang kompetitif dan berdaya saing dalam membangunkan industri halal di dalam dan luar negara.
Hal ini juga disokong oleh data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencatatkan industri halal negara menyumbang sebanyak 7.4 peratus kepada keseluruhan KDNK 2022 dan dijangkakan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang. Jangkaan industri ini menyumbang RM400 bilion atau 11 peratus KDNK pada 2030.
Lantas, apakah yang menyebabkan industri halal di Malaysia kekal utuh dan berdaya saing? Kerajaan meletakkan komitmen amat tinggi dalam pembangunan dan pemerkasaan industri halal negara. Hal ini dibuktikan menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) semenjak lebih 30 tahun lalu.
Kita acap kali diiktiraf sebagai negara yang terkemuka dengan pensijilan halal berikutan mempunyai piawaian dan prosedur kukuh dan komprehensif termasuklah Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) yang telah digunakan secara menyeluruh merangkumi semua aspek rantaian bekalan halal. Ini termasuk sumber, pemprosesan, penyimpanan, pengangkutan dan pengedaran.
Malaysia juga menjadi negara pertama dunia mengeluarkan standard halal secara menyeluruh dan meluaskan konsep halal kepada beberapa skim lain seperti farmaseutikal, logistik, peranti perubatan dan kosmetik melalui pembangunan standard yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
Buktinya, seawal 2004, kita memperkenalkan MS1500:2004, iaitu garis panduan yang praktikal bagi industri makanan mengenai penyediaan dan pengendalian makanan halal atau peraturan asas produk makanan serta perdagangan atau perniagaan makanan. Standard halal tersebut kemudiannya diguna pakai di peringkat antarabangsa dan mendapat kepercayaan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai peneraju standard halal.
Kerjasama utuh dalam kalangan agensi dan pemain industri menjadi penyumbang utama dalam membangunkan ekosistem halal berdaya saing dan kompleks. Hasilnya, Malaysia berjaya menjadi destinasi utama bagi syarikat-syarikat di seluruh dunia untuk mendapatkan pensijilan halal melalui prosedur dan peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)/Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Pemerolehan sijil pengesahan Halal Malaysia merupakan suatu pengiktirafan tertinggi bagi menentusahkan status kehalalan sesuatu produk atau perkhidmatan pada masa kini. Ini kerana kita sudah terkenal sebagai pelopor utama kepada pembangunan prosedur halal yang ketat baik di rantau Asia mahupun di peringkat global.
Pencapaian Jakim yang telah diakreditasi oleh MS ISO/IEC 17065:2012 memperkuatkan lagi kedudukannya sebagai peneraju pensijilan halal dunia.
MEDIA SOSIAL
Malaysia menerusi Jakim juga menjadi pusat rujukan utama bagi pensijilan halal di peringkat global. Ini terbukti dengan penganjuran Persidangan Badan-Badan Pensijilan Halal saban tahun yang kini memasuki edisi ke-12 dengan penyertaan sebanyak 500 delegasi dari seluruh dunia.
Badan pensijilan halal dari pelbagai negara di seluruh dunia telah mengadaptasi standard dan piawaian halal dibangunkan oleh Malaysia sebagai satu usaha untuk mendapat pengiktirafan daripada Jakim. Sehingga artikel ini ditulis, terdapat 83 badan pensijilan halal dari 46 negara telah mendapat pengiktirafan daripada Jakim.
Adakalanya status sijil pengesahan Halal Malaysia yang sangat berprestij cuba untuk dimanipulasi dan disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab. Sebagai langkah berhati-hati dalam memastikan keabsahan status halal sesuatu produk, masyarakat dan pemain industri boleh memuat turun aplikasi Verify Halal dan SmartHalal di peranti telefon pintar mereka bagi menentu sah status halal produk dalam dan luar negara.
Aplikasi Verify Halal yang dibangunkan dengan kerjasama Serunai Commerce dan Jakim dan aplikasi SmartHalal yang dibangunkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Dermaga Oil & Gas memainkan peranan sebagai aplikasi yang tuntas dari segi maklumat halal sesuatu produk yang didaftar di Malaysia dan juga diiktiraf oleh badan pensijilan halal antarabangsa yang mempunyai pengiktirafan daripada Jakim.
Dalam masa sama, Jakim sentiasa komited dalam menangani isu-isu halal yang menular di media sosial secara berulang pada setiap tahun. Untuk makluman, sehingga kini Jakim telah mengeluarkan lebih 117 penjelasan rasmi berkenaan isu-isu halal menular di media sosial yang boleh dicapai oleh pengguna melalui Facebook Bahagian Hab Halal Jakim. Dokumentasi ini dilihat penting bagi memberikan maklumat tepat kepada pengguna serta menafikan sesuatu dakwaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Selain itu, bagi memastikan penyaluran maklumat yang tepat kepada pengguna berhubung perkembangan terkini industri halal di dalam dan luar negara, Jakim melihat masyarakat perlu sentiasa celik dan cakna mengenai isu-isu semasa dan status kehalalan sesuatu produk kerana ia merupakan tanggungjawab seorang mukmin itu untuk mempunyai asas kefahaman yang betul.
Selari dengan objektif tersebut, Bahagian Pengurusan Halal Jakim akan mengadakan program Celik Halal bersama imam peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 10 Mei ini. Program Celik Halal merupakan satu inisiatif rahmah kesedaran halal yang dibuat oleh Jakim melalui Bahagian Pengurusan Halal bagi menyantuni dan menyajikan maklumat halal terkini kepada para pengguna dari pelbagai peringkat dan latar belakang agar sentiasa cakna dengan penjelasan isu-isu halal yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti khususnya Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri dari semasa ke semasa.
Terdahulu, program seumpama ini dilaksanakan kepada mahasiswa seluruh negara pada 2021, manakala sasaran kepada guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) pada 2022. Justeru, tahun ini buat pertama kalinya Jakim menyasarkan penglibatan golongan imam dalam program Celik Halal agar maklumat dan isu-isu halal semasa dapat disalurkan secara langsung kepada mereka selaku pihak yang dekat dan sering menjadi rujukan masyarakat dalam hal ehwal berkaitan agama.
Program ini juga diharapkan dapat menyemai perpaduan dan dakwah Halal Malaysia berkonsepkan madani dalam kalangan imam dan guru takmir agar informasi yang disampaikan dapat disebarkan dengan lebih meluas kepada kariah masjid atau surau masing-masing. – UTUSAN
Mohamad Zamri Mohamed Shapik ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).










