RM15.75 juta kepada sekolah persendirian Cina besar sangat - Utusan Malaysia

RM15.75 juta kepada sekolah persendirian Cina besar sangat

PERUNTUKAN kepada sekolah persendirian Cina didakwa terlalu banyak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meneliti semula peruntukan sehingga RM15.75 juta kepada 63 buah sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, peruntukan besar tersebut sepatutnya hanya diberikan dengan syarat untuk membantu kerosakan tertentu di sekolah-sekolah terbabit.
Menurut beliau, dana tersebut tidak boleh diberi atas kapasiti tertentu atau untuk meme­nuhi permintaan kesatuan.

“Sekolah persendirian Cina kebanyakan dibiayai lembaga pengurus berbanding sekolah kebangsaan yang mengharapkan dana kerajaan 100 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa sama, kita boleh lihat sekolah kebangsaan di seluruh negara lebih banyak terbiar dan amat kritikal berbanding sekolah persendirian Cina yang kebanyakannya terletak di kawasan bandar,” kata beliau.

Kata Fouzi, dana diluluskan tidak wajar jika untuk menjaga sokongan politik sebaliknya wang sebanyak itu boleh diguna untuk membaiki sekolah-sekolah daif.

Minggu lepas, media me­laporkan, kerajaan meluluskan bantuan khas RM15.75 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara dengan setiap sekolah akan menerima RM250,000.

Menurut laporan media, Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan media berbahasa Cina dilapor berkata, permohonan diluluskan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anthony, ia susulan permohonan bertulis daripada Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 28 Februari lalu.

SEKOLAH

Mengulas lanjut, Fouzi berkata, jumlah RM250,00 untuk setiap sekolah persendirian itu tinggi berbanding bantuan kepada sekolah persendirian yang hanya terhad kepada penyelenggaraan tertentu sahaja.

Katanya, ini kerana dasar Kementerian Pendidikan cuma menyalurkan peruntukan penyelenggaraan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) secara berpusat.

“Contoh kalau tema tandas, maka selenggara tandas. Jadi tidak ada fokus kecuali berlaku kecemasan seperti ribut, runtuh atau apa-apa kejadian yang perlukan tindakan segera. Makna­nya, jika sekolah itu tidak ada apa-apa isu, maka mereka tidak akan dapat,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, kerajaan wajar meneliti semula pemberian dana tersebut kerana kerana kebanyakan sekolah persendirian kaya dan ada peruntukan sendiri.

Malah, kata beliau, kebanyakan waris pelajar pula dalam kumpulan berpendapatan tinggi dan tidak rasional kerajaan menjadi begitu ‘pemurah’ tidak kena tempat.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan kriteria penentuan jumlah peruntukan kepada sekolah persendirian Cina berbanding peruntukan kepada institusi pendidikan agama.

Katanya, jika alasan peruntukan diberikan kepada sekolah persendirian Cina atas faktor kekurangan dana, maka pihak­nya mencadangkan sekolah-sekolah itu diserap ke dalam aliran kebangsaan.

“Saya percaya lebih banyak sekolah aliran kebangsaan yang daif dan lebih memerlukan bantuan dana berbanding sekolah persendirian Cina yang kita semua sedia maklum dibiayai secara persendirian oleh pihak swasta tanpa memerlukan dukungan kerajaan,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×