PETALING JAYA: Umat Islam dijangka meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan berjerebu disebabkan fenomena Ayunan Madden Julian yang berlaku di Malaysia ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kaji cuaca, Dr. Fredolin Tangang berkata, ramalan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan semalam menunjukkan, keadaan fenomena itu dijangka berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu.
Kata Felo Akademi Sains tersebut, keadaan itu boleh membawa keadaan jerebu yang berpanjangan terutama pada ketika ini apabila Malaysia berada dalam musim perantaraan monsun yang menyaksikan keadaan angin agak perlahan dan pelbagai arah.
“Keadaan cuaca panas dan kering serta berjerebu dialami ketika ini disebabkan fenomena Ayunan Madden Julian yang mana kawasan Malaysia didominasi pusat perolakan terhalang dan membawa kepada pengurangan hujan dan peningkatan suhu.
“Ramalan Pusat Ramalan Iklim jelas menunjukkan kawasan kita didominasi oleh pusat perolakan terhalang ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun kata Fredolin, keadaan jerebu bakal pulih kerana ada kemungkinan sistem pusat tekanan perolakan terhalang itu bergerak ke kawasan Lautan Pasifik.
Ketika ditanya sama ada taburan hujan tinggi boleh mengurangkan jerebu, beliau berkata, perkara itu pasti mengurangkan keadaan itu namun kawasan pantai Timur khususnya Kelantan kini mengalami kebakaran hutan akibat penurunan hujan agak rendah.
“Ia berbanding pantai barat terutama Lembah Klang dan secara kebiasaan mengalami rIbut petir semasa April dan Mei dalam musim perantaraan monsun,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, keadaan cuaca panas dan kering yang dialami pada ketika ini bukan disebabkan El Nino kerana menurut Pusat Ramalan Iklim, keadaan di Lautan Pasifik masih normal dan corak suhu permukaan lautan tidak menunjukkan kehadiran fenomena berkenaan pada ketika ini.
“Tetapi El Nino memang diramalkan berlaku bermula Jun ini dan suhu lautan di bahagian kedalaman di Lautan Pasifik menunjukkan proses pembentukan El Nino sedang rancak. Pusat Ramalan Iklim AS meramalkan El Nino berlaku bermula Jun ini dengan kebarangkalian melebihi 60 peratus, manakala Pusat Ramalan Iklim APEC di Busan Korea meramalkan tahap kebarangkalian melebihi 90 peratus.
“Intensiti El Nino ini dijangka boleh mencapai kategori kuat. Seperti fenomena El Nino sebelum ini, kita berdepan dengan keadaan cuaca kering dan panas bermula Jun hingga ke hujung tahun dan awal tahun depan sekiranya El Nino ini berlaku seperti yang diramalkan,” katanya.
Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
Selain itu, 64 stesen mencatatkan bacaan IPU sederhana antaranya Petaling Jaya, Putrajaya, Shah Alam dan Cheras manakala hanya tiga stesen merekodkan bacaan baik iaitu Limbang Sarawak dan Kimanis serta Keningau, Sabah. – UTUSAN











