KUALA LUMPUR: “Satu perjalanan yang sangat sukar. Kadangkala perjalanan itu membuatkan saya berasa sunyi. Tetapi saya tak pernah berhenti berharap atau berputus asa.”
Demikian luahan Pelakon Wanita Terbaik Oscars, Tan Sri Michelle Yeoh ketika ditanya rangkuman ringkas perjalanan seninya sepanjang 40 tahun.
Kata pelakon kelahiran Malaysia itu, kemenangan berkenaan menjadi batu tanda harapan dan peluang anak seni di seluruh dunia untuk melakar kejayaan sepertinya.
“Satu pengalaman yang menakjubkan. Ibarat roller-coaster. Bila filem Everything Everywhere All At Once ditayangkan, saya sendiri tidak menyangka menggenggam trofi ini.
“Watak Elevyn Wong ini sangat penting. Inilah kali pertama saya ada harapan. Ramai yang tanya, mahukah anda menang Oscars? Pastilah, ya! Siapa tidak mahu.
“Trofi ini adalah lambang harapan ramai orang. Terlalu ramai yang mahu kemenangan itu berpihak kepada saya. Saya dengar kegembiraan dari setiap pelusuk dunia,” ujarnya dalam sidang akhbar khas sempena kepulangannya ke Malaysia di sini.
Aktress prolifik itu adalah wanita Asia pertama yang dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik sekali gus melakar sejarah baharu dalam industri perfileman antarabangsa.
Bintang yang dilahirkan di Ipoh, Perak itu juga wanita Asia pertama yang dicalonkan bagi kategori tersebut sekali gus melakar sejarah baharu dalam dunia perfileman global.
Dalam pada itu, ditanya adakah dia pernah berputus asa sepanjang 40 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, pelakon itu menggelengkan kepalanya.
“Kepada semua wanita di luar sana, jangan pernah berputus asa. 40 tahun saya berjuang, tidak pernah sekali pun saya mengaku kalah. Kalau saya ada pemikiran sebegitu, saya tidak akan duduk di sini. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.
“Jangan pernah biarkan orang lain meletakkan anda dalam kotak pemikiran mereka. Percaya kepada diri sendiri, percaya kepada impian dan usaha,” katanya. – UTUSAN











