KUALA LUMPUR: Nasib Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (Ittifaqiyah) yang mempunyai kira-kira 30 pelajar dan majoritinya berasal daripada golongan asnaf seperti digantung tak bertali apabila sejak 2017 bertarung untuk beroperasi tanpa sebarang bantuan.
Situasi itu mula berlaku apabila peristiwa hitam menimpa Ittifaqiyah pada September 2017 iaitu insiden kebakaran yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajarnya.
Pengetuanya, Mohd. Zahid Mahmood mendakwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhenti memberi bantuan susulan kejadian yang menimpa pusat pengajiannya itu.
Katanya, MAIWP mengarahkan Ittifaqiyah menggunakan wang di dalam akaun untuk meneruskan operasi sedangkan agensi terbabit turut sedia maklum bahawa akaun berkenaan sudah dibekukan oleh mahkamah.
“Pengurusan Ittifaqiyah agak terbantut dan tidak berjalan dengan lancar akibat kekangan kewangan. Jika dulu kami boleh menampung 60 pelajar tanpa meminta yuran pengajian tetapi kini jumlah yang boleh ditanggung dalam keadaan ini hanya separuh daripada jumlah tersebut.
“Selepas insiden itu, MAIWP tidak lagi membantu Ittifaqiyah atas alasan bahawa kami sudah ada duit iaitu sumbangan daripada orang ramai. Sebanyak dua kali kami buat permohonan iaitu 2018 dan 2019 tetapi jawapan mereka tetap sama, meminta kami gunakan duit sedia ada sedangkan akaun sudah dibekukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam kejadian pada 2017 itu, negara dikejutkan dengan tragedi kebakaran yang menyebabkan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar Ittifaqiyah maut selain beberapa penghuni cedera.
Susulan itu, akaun bank Ittifaqiyah dibekukan sehingga ke hari ini selepas pihak ibu bapa pelajar yang terlibat dengan insiden tersebut bertindak menyaman sekolah itu.
Mohd. Zahid berkata, Ittifaqiyah tidak melakukan pengutipan derma namun sejak dahulu mengharapkan bantuan daripada MAIWP.
Ketika ditanya tindakan MAIWP berhenti menyalurkan bantuan, Mohd. Zahid mendakwa, agensi tersebut mengatakan ia disebabkan masalah berkaitan audit.
“Cuma proses pengauditan dijalankan adalah dari segi pengurusan, agak berbeza sebab kami menerima duit dalam bentuk bantuan secara one off jadi bila audit pengurusan, saya rasa agak janggal sedikit.
“Jika saya salah, kita boleh rujuk dengan yang meluluskan bantuan dahulu, kita boleh tengok minit-minit mesyuarat terdahulu. Harapan saya, supaya bantuan untuk pelajar asnaf ini mesti disalurkan dan jangan cuba menangguhkannya.
“Jika ada isu, mungkin kita boleh perbetul dan percepatkan. Kita tak mahu ia menjadi punca kepada satu benda yang besar,” katanya.
Dakwanya lagi, bantuan zakat iaitu sekitar RM30,000 yang sepatutnya diterima oleh semua sekolah berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga tidak diterima Ittifaqiyah.
Bagaimanapun katanya, Ittifaqiyah dapat terus beroperasi sehingga hari ini walaupun menghadapi tunggakan bil sekitar RM20,000 adalah berkat daripada orang-orang yang membantu.
“Jika kami ada duit, apa yang lagi perlu? Adakah elektrik atau makan minum pelajar? Sudah pasti kebajikan pelajar jadi keutamaan. Kami mahu membantu golongan asnaf belajar,” katanya. – UTUSAN











