GUA MUSANG: Seorang ibu yang menghidap penyakit kencing manis kronik dari Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini bertungkus-lumus menyiapkan 10,000 keping kuih sarang tebuan bagi membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri buat ahli keluarganya.
Rosnanie Maliki, 37, berkata, dia terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga dengan menyiapkan 200 botol kuih sarang tebuan yang ditempah pelanggan selepas suaminya, Mohd. Hassan Mat Zain, 49, hilang upaya bekerja akibat penyakit radang hati.
Katanya, bagi memastikan kantung poketnya terus terisi, dia tidak boleh berpeluk tubuh sebaliknya membuat kuih sarang tebuan dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi menampung pendapatan.
“Sebelum ini saya adalah penjual aiskrim dan pendapatan terputus pada bulan Ramadan kerana terpaksa berhenti menjualnya.
“Saya bersyukur mendapat tempahan 200 botol kuih sarang tebuan pada Hari Raya Aidilfitri kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Rosnanie memberitahu, dia terpaksa mengehadkan tempahan kerana dirinya berdepan masalah kesihatan penyakit kencing manis.
Katanya, sejak suami hilang upaya untuk bekerja setahun lalu dia, dan keluarga hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.
“Persiapan raya kami bersama lima anak termasuk baju raya memang tiada lagi kerana mengharapkan duit kuih ini. Jika ada rezeki bolehlah beli baju raya anak kerana inilah punca pendapatan saya ketika ini.
“Saya menjual 50 keping kuih sarang tebuan dengan harga RM15 sebotol. Setiap hari saya mula membuat adunan kuih berkenaan pada pukul 8 pagi dan selesai menggoreng pukul 5 petang,” ujarnya. – UTUSAN











