PETALING JAYA: Penternak ayam penelur mendesak kerajaan berlaku jujur kepada industri serta rakyat dan mendedahkan masalah sebenar dalam sektor pengeluaran telur ayam yang kini berdepan isu tidak cukup bekalan.
Pemilik sebuah ladang ayam penelur di Lembah Klang yang dihubungi Utusan Malaysia semalam mendedahkan, pihaknya hairan bagaimana kerajaan tergamak memberitahu rakyat kononnya bekalan telur di pasaran mencukupi, sedangkan data unjuran pengeluaran ayam dan telur bagi 2023 yang dihasilkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) jelas menunjukkan bekalan kedua-dua sumber itu tidak mencukupi bermula April.
Kata sumber, sejak Februari lalu ladang-ladang ayam dan telur sudah mendapat salinan sebuah laporan data unjuran JPV berjudul ‘Bekalan ayam dan telur bagi tahun 2023: Pembentangan kepada bahagian penguatkuasaan negeri-negeri’.
“Dalam data unjuran yang sudah tular di kalangan penternak itu, bekalan telur bermula Mei akan berkurangan sebanyak 60 juta biji. Kemudian pada Julai, masalah telur makin kritikal apabila bekalan berkurangan 150 juta biji sepanjang bulan itu,” kata sumber.
Utusan Malaysia yang menerima satu salinan data unjuran itu sudah membuat semakan ketulenan dokumen itu dengan pihak JPV dan disahkan bahawa dokumen tersebut adalah tulen.
Dalam pada itu, sumber berkata dia hairan bagaimana JPV tergamak menyalurkan maklumat yang tidak tepat bahawa bekalan telur dalam negara mencukupi.
Sumber merujuk kepada satu kenyataan JPV pada 11 April yang memaklumkan, terdapat lebihan bekalan pada Mac iaitu sebanyak 250.8 juta biji telur sekali gus limpahan bekalan berlaku pada April.
Kata sumber, itu maklumat yang amat mengelirukan kerana meskipun data unjuran itu menunjukkan pada Mac ada lebihan telur sebanyak 250 juta biji.
Namun akibat proses penghasilan telur yang terganggu kerana isu kekurangan stok induk tuai atau parent stock( PS) ayam penelur, data unjuran itu menunjukkan bahawa stok telur seluruh negara sepanjang April berkurangan 20 juta biji sementara pada Mei bekalan telur diunjurkan akan berkurangan 60 juta biji.
“Kemudian pada Julai, merujuk data unjuran itu bekalan telur akan berkurangan 150 juta biji; September berkurangan 360 juta biji; Oktober kurang 411 juta biji dan paling teruk pada Disember apabila JPV sendiri mengunjurkan bahawa bekalan telur akan berkurangan lebih 600 juta biji sepanjang bulan itu,” kata sumber.
Untuk rekod, berdasarkan data unjuran tersebut, negara memerlukan 1 bilion biji telur setiap bulan, dengan bekalan turun naik tidak menentu. Sementara itu, sektor telur diburukkan pula oleh pendirian kerajaan yang tetap membenarkan syarikat telur gergasi di Malaysia mengeksport telur ke luar negara, dengan unjuran eksport sepanjang 2023 mencecah 1,144 bilion biji. – UTUSAN










