PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memanggil syarikat dan pihak yang terlibat dengan kontena mengandungi dadah seberat 336 kilogram bernilai RM789.56 juta yang dirampas di Brisbane. Australia baru-baru ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zazuli Johan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi menyiapkan laporan penuh berhubung kejadian tersebut.
“Siasatan dilakukan secara menyeluruh termasuk jika wujudnya kelemahan sistem atau pembabitan orang dalam atau elemen lain sehingga berlakunya kejadian itu.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung perkara ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya memberi tempoh maksimum dua minggu kepada JKDM bagi mengemukakan laporan penuh berkaitan kejadian tersebut.
Kata beliau, kejadian itu menunjukkan wujudnya kelemahan dalam sistem kerajaan yang sepatutnya mampu mengesan kegiatan berkenaan, namun gagal.
“Soalnya, bagaimana dalam sistem yang canggih sekarang boleh bolos begitu besar jumlah dadah melalui Pelabuhan Klang. Jadi, saya minta JKDM beri laporan penuh apa yang berlaku,” ujarnya.
Sementara itu, menurut sumber, dadah tersebut dipercayai dibungkus semula dalam blok konkrit simen di negara ini sebelum disorok dalam kontena berkenaan.
Difahamkan pihak berkuasa sedang menyiasat sumber bekalan dadah tersebut dipercayai diseludup masuk ke negara ini.
Sumber berkata, dadah tersebut disyaki dibawa masuk dari negara jiran sebelum transit di negara ini.
“Kemudian ia dipercayai dibungkus untuk disorok dalam konkrit simen dan kontena sebelum diseludup ke Australia melalui jalan laut,” ujarnya.
Minggu lalu, Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) mengesan penghantaran dua blok konkrit seberat 500 kilogram yang diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena berkenaan yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.
Kenyataan itu dilaporkan berkata, pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan.
Risikan mendapati barangan itu diambil oleh seorang lelaki tempatan menggunakan trak yang disewa menuju ke Sydney sebelum ia diturunkan di sebuah bangsal industri di Mount Druitt pada 30 Mac.
Turut ditahan lelaki Australia berusia 55 tahun serta pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas bernilai AUD700,000 (RM2.05 juta) dirampas. – UTUSAN










