LANDSKAP perundangan Malaysia ketika ini sedang mengalami perubahan drastik apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 diluluskan di Dewan Negara pada 3 April lalu.
RUU ini dikatakan sebagai satu akta omnibus kerana merangkumi pindaan terhadap Kanun Keseksaan (Akta 574), Kanun Tatacara Jenayah, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan Akta Perdagangan Strategik 2010 untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan mengubah hukuman yang berhubungan dengan pemenjaraan sepanjang hayat serta sebatan.
Akta omnibus ini didefinisikan sebagai sebuah perundangan yang menggabungkan pelbagai subjek atau pendekatan menjadi satu RUU berbentuk komprehensif.
Sementelah itu, RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 turut diluluskan untuk mengadakan peruntukan bidang kuasa Mahkamah Persekutuan bagi mengkaji semula hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat yang dijatuhkan terhadap orang disabitkan berikutan pemansuhan hukuman mati mandatori. Sebelum ini tiada sebarang undang-undang dalam negara yang membenarkan hukuman mati mandatori, iaitu hukuman gantung sampai mati menurut Seksyen 281 Kanun Tatacara Jenayah untuk disemak semula apabila ia sudah diputuskan secara muktamad di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Adapun setelah hukuman itu diputuskan, mana-mana pesalah layak untuk membuat satu rayuan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang Dipertua Negeri.
Menarik sekali apabila RUU di atas memberi satu penambahan kuasa mutlak kepada mahkamah tertinggi dengan menetapkan walaupun permohonan bagi pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ditolak dan sekiranya satu hukuman mati dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan, mahkamah tersebut mempunyai kuasa untuk mengkaji semula hukuman berikutan pindaan yang dibuat melalui Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Mahkamah Persekutuan dalam hal ini tidak boleh mengkaji semula sabitan terhadap mana-mana orang yang telah dihukum mati dan perlu memanggil serta memeriksa rekod prosiding, alasan penghakiman dan dokumen lain yang berkaitan sebelum memutuskan sama ada ingin mengekalkan atau menggantikan hukuman mati mandatori berkenaan.
Pindaan undang-undang tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh di Parlimen tempoh hari dengan kenyataan bahawa ia bertujuan menghormati hak untuk hidup setiap individu di negara ini sambil melindungi kebebasan asasi semua rakyat sebagaimana termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Maka sudah terang lagi bersuluh, komitmen kerajaan hari ini adalah untuk membentuk keseimbangan di antara kepentingan awam, hak kesamarataan dan hak asasi individu serta sebagai suatu langkah kehadapan bagi meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan, atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT).
KECEWA
Saya berpendapat, dalam memberi kuasa tambahan kepada Mahkamah Persekutuan, penggubal undang-undang khususnya wakil rakyat perlu mengambil kira aspek perasaan keluarga mangsa jenayah kejam dan zalim dalam apa-apa prosiding penyemakan semula hukuman mati mandatori. Peruntukan tersebut yang tidak dinyatakan secara spesifik dalam RUU di atas menimbulkan 1,001 persoalan dan menyuntik rasa kecewa kepada aktivis seperti saya kerana kerajaan kini seolah-olah mengetepikan ahli keluarga mangsa jenayah dalam perkara kritikal ini.
Waris keluarga atau wali sepatutnya berhak untuk terlibat sama dalam proses penyemakan semula kadar hukuman bagi menentukan kesesuaian hukuman mati mandatori sama ada perlu dikekalkan atau digantikan dengan hukuman setimpal lain, jika benar-benar orang kena tuduh itu didapati bersalah.
Hukuman mati mandatori di mahkamah sivil yang dikenakan terhadap pesalah laku jenayah berat dan terancang di Malaysia adalah bertepatan dengan prinsip Islam yang memandang tinggi bukan sahaja hak Allah, tetapi juga kedudukan nyawa dan jiwa seorang anak Adam. Konsep hifz-an-nafs atau pemeliharaan nyawa menjadi tonggak keamanan dan kesejahteraan negara kerana tidak boleh ada sebarang pertumpahan darah atau pertelingkahan yang membawa kepada kerosakan batang tubuh ahli masyarakat berlaku di bawah pemerintahan mana-mana negara bertamadun.
Oleh itu, segala ruang dan peluang bagi kerajaan untuk mencapai keadilan perlulah direncanakan sehabis baik bagi mengelak sebarang pencabulan hak Pencipta dan hak manusia pada masa hadapan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ bermaksud: “Sesiapa yang mati terbunuh secara zalim maka Kami jadikan bagi walinya kuasa (menuntut) balasan qisas, tetapi tidak boleh melebihi batasnya.”
Ia memberi kuasa tertentu kepada ahli keluarga mangsa untuk menuntut pembelaan. Qisas di sini bermaksud satu hukuman yang telah ditetapkan kadarnya mengikut syarak dalam kes-kes melibatkan hak perseorangan seperti kesalahan membunuh atau mencederakan mana-mana anggota badan. Waris, dalam kes pembunuhan misalnya, berhak menentukan hukuman qisas ke atas penjenayah atau memilih untuk mengampunkannya. Dengan syarat, ahli keluarga yang bersedih itu tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil alih atau mengganggu tugas pihak berkuasa dan mahkamah dalam sesuatu penyiasatan atau pensabitan kes, apatah lagi bagi jenayah yang memerlukan kajian serta pandangan pakar yang teliti.
Secara prinsip, ahli keluarga mangsa perlu dilibatkan secara langsung dan diberi kebebasan untuk bersuara serta mengemukakan pandangan tersendiri terutama sewaktu penyemakan semula hukuman mati sebagaimana diperuntukkan dalam nas-nas al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. – UTUSAN
Penulis ialah pengamal undang-undang; aktivis hak asasi manusia; Setiausaha Kehormat Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Pengarah Komunikasi Pertubuhan Masyarakat Sivil (MACSA) dalam Proses Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR).










