PERSIDANGAN Air Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2023 melabuhkan tirai pada 24 Mac lalu. Persidangan tiga hari bertempat di ibu pejabat PBB di New York yang julung-julung kali diadakan dianjurkan bersama oleh kerajaan Belanda dan Republik Tajikistan. Dilaporkan persidangan ini dihadiri lebih 10,000 perwakilan, media, organisasi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh dunia.
Persidangan ini merupakan titik tolak untuk tindakan air yang lebih jitu bagi menyokong pembangunan lestari. Setiausaha Agung PBB, Antonio Guiterez dalam ucapan perasmian menegaskan, 40 peratus penduduk dunia dibelenggu masalah kekurangan air dan 80 peratus air sisa kumbahan tidak dirawat dengan sempurna telah mencemar alam sekitar.
Beliau juga menegaskan, 90 peratus bencana alam adalah berkait dengan air.
Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam Laporan Krisis Global 2023 mengaitkan air adalah sebahagian daripada krisis global yang boleh mengganggu gugat kestabilan dan kemakmuran sejagat. Sesungguhnya air adalah tunjang kesejahteraan dan nadi pembangunan.
Krisis global acap kali diperbincangkan dalam forum pelbagai hala di peringkat tertinggi bagi menggembleng kerjasama negara anggota, termasuklah air. Kali pertama PBB bersidang mengenai krisis air adalah pada 1977 di Mar del Plata, Argentina dan dihadiri oleh 116 negara. Objektif utama persidangan tersebut untuk meningkatkan tahap siap siaga peringkat negara anggota, serantau dan antarabangsa bagi mengelak berlakunya krisis air global pada penghujung alaf tersebut.
Hasilnya adalah Pelan Tindakan Mar del Plata. Namun, agenda air beralun perlahan dan gagal dibincangkan serta tidak disusuli secara serius semasa Persidangan Antarabangsa untuk Air dan Pembangunan di Dublin dan Persidangan PBB untuk Alam Sekitar dan Pembangunan di Rio de Janeiro pada 1992.
Kemudian, PBB mengisytiharkan Dekad Tindakan Antarabangsa 2005-2015. Air hanya diiktiraf sebagai salah satu hak asasi manusia pada 28 Julai 2010. PBB turut menjadikan air bersih dan sanitasi sebagai salah satu Sasaran Pembangunan Lestari (SDG) pada 2015. Malah jika diteliti dengan mendalam, peranan air meliputi hampir kesemua 17 sasaran SDG.
Jelas sekali air dipandang sepi selama 46 tahun di peringkat PBB sebelum ini. Walaupun diberikan keutamaan di bawah SDG khususnya berkaitan liputan air dan sanitasi, ia tidak mendapat perhatian seperti isu perubahan iklim, ancaman kemusnahan biodiversiti, pencemaran alam atau dijadikan kerangka seperti Perjanjian Paris mahupun kerangka-kerangka alam sekitar lain.
Perhatian dunia tidak tertumpu kepada krisis air kerana negara-negara maju merasakan masalah air mereka telah selesai lebih separuh abad lalu. Ini hanyalah masalah pembangunan negara-negara dunia ketiga.
Keadaan semasa telah banyak berubah sejak 1970-an semasa pembesar dunia berhimpun di Mar del Plata, 46 tahun lalu. Dinamik perbincangan tidak mengambil kira perubahan iklim dan impaknya atau strategi membabitkan peranan air dalam pembangunan secara tuntas.
PENDUDUK DUNIA
Penduduk dunia kini meningkat sehingga lapan bilion orang dan bakal mencecah 9.7 bilion pada pertengahan abad ini. Daripada jumlah itu, penduduk yang mendiami kawasan-kawasan bandar di dunia juga meningkat daripada 38 peratus (1977) kepada 57 peratus (2020). Jumlah ini dijangka lebih tinggi di negara- negara membangun.
Pertumbuhan ekonomi global juga meningkat daripada AS$7.35 trilion pada 1977 kepada AS$96.1 trilion (2021) untuk keluaran dalam negara kasar (KDNK) global manakala KDNK per kapita meningkat sehingga AS$12,663 pada 2021 berbanding hanya AS$1,747 (1977). Pertumbuhan ekonomi dan peningkatan penduduk memberi tekanan dan permintaan terhadap sumber air.
Jika dibandingkan dengan sektor tenaga, pelaburan untuk infrastruktur air jauh lebih rendah. Dengan cabaran mendatang dan krisis-krisis yang boleh merencatkan pembangunan global, pencapaian SDG di peringkat global sukar dicapai bagi banyak negara. Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam penerbitan bertajuk Financing a Water Secure Future menganggarkan dunia memerlukan pelaburan mencecah AS$1 trilion (bersamaan 1.21 % keluaran kasar global) untuk mencapai sasaran SDG pada 2030.
Malaysia mengambil bahagian dalam persidangan pada kali ini dan telah membangkitkan beberapa perkara pokok. Antara yang ditekankan termasuk perubahan iklim adalah krisis air, peranan air dalam menghubungkan tindakan iklim, alam sekitar dan pembangunan. Malaysia menyeru dunia membangunkan kerangka daya tahan agar aktiviti pembangunan tidak mengetepikan kepentingan alam sekitar dan menidakkan kepentingan air.
Selain itu, Malaysia turut menekankan bahawa sumber air dari negara membangun telah menyumbang kepada kemakmuran dunia dan dieksploitasi sewenang-wenangnya. Malaysia turut mencadangkan satu agensi khas bagi air ditubuhkan di peringkat PBB.
Dalam ucapan penutup, Guiterez mengumumkan pelantikan Utusan Khas untuk Air di peringkat PBB. Selain itu, Malaysia mengemukakan dua komitmen sukarela bagi menyokong usaha Dekad Tindakan Air 2018-2028.
Air telah diketepikan sekian lama walaupun terdapat pelbagai kritikan terhadap persidangan ini, kita jelas akan usaha yang perlu digiatkan. Di antara hasil persidangan termasuklah penubuhan panel sains khusus untuk air sebagaimana peranan Panel Antara Kerajaan untuk Perubahan Iklim sebagai penasihat sains untuk Konvensyen Kerangka PBB untuk Perubahan Iklim. PBB juga akan membentangkan strategi air dalam mesyuarat Forum Tertinggi Politik untuk Pembangunan Lestari pada Julai ini manakala tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim Ke-28, iaitu Emiriah Arab Bersatu akan memasukkan air sebagai agenda utama, November ini.
Usaha menggerakkan agenda air di tanah air perlu melihatnya dari perspektif lebih meluas – business is not as usual in this unusual era of crises. Sumbangan air kepada pembangunan negara serta perbandingannya dengan nilai KDNK perlu dianalisis. Anjakan paradigma yang pertama adalah dengan menghargai air dan Malaysia perlu lebih tuntas untuk menggerakkan peranannya dalam konteks kerangka pelbagai hala seperti perubahan iklim, alam sekitar dan biodiversiti. –UTUSAN
DR. Ching Thoo a/l Kim ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Air & Pembetungan), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar & Perubahan Iklim.










