Siapa poster boy PH-BN Kedah belum dibincang lagi

Siapa poster boy PH-BN Kedah belum dibincang lagi

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah masih belum memutuskan individu daripada gabu­ngan mana yang akan diangkat sebagai calon Menteri Besar sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Bersama Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu juga belum dibincangkan oleh mana-mana pihak dan keputusan mengenainya hanya akan dapat ditentukan setelah selesai rundingan peng­agihan kerusi.

Dalam memutuskan hal itu katanya, penilaian kepimpinan kedua-dua gabungan di peringkat pusat juga sudah tentu akan diambil kira.

“Kalau tanya BN, tentu mereka kata nak jadi Menteri Besar dan kalau tanya kami juga, pas­tinya kami berikan jawapan sama. Jadi perkara itu akan dimuktamadkan setelah selesai rundingan kerusi dan perbincangan menyeluruh di peringkat pusat termasuk mengambil kira kedudukan Menteri Besar di negeri-negeri lain juga.

“Kalau sudah sampai kata sepakat nanti, mungkinlah individu berkenaan akan dijadikan sebagai poster boy,” katanya ketika ditemui pada sesi sembang santai bersama beberapa pengamal media di sebuah restoran di sini, semalam.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad memaklumkan, PH lebih condong untuk membiarkan BN me­nerajui kerajaan negeri di Kedah, Kelantan dan Terengganu sebagai Menteri Besar sekiranya menang dalam PRN akan datang.

Perkara sama turut disuarakan Timbalan Ketua Penera­ngan PKR, Chua Wei Kiat semalam yang mendakwa PH berkemungkinan memberi laluan kepada calon UMNO dalam usaha menawan tiga negeri tersebut pada PRN tidak lama lagi.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Pengerusi PH Kedah berkata, mesyuarat pengagihan kerusi juga belum berlangsung kerana kedua-dua pihak baru sahaja membentuk pasukan bagi tujuan itu.

Bagaimanapun katanya, setakat ini terdapat persefahaman terhadap keputusan Sekretariat Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional yang pada dasarnya bersetuju agar kerusi dimenangi kedua-dua gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak ‘diganggu’.

“Selain itu, kita akan lihat siapa mendapat kedudukan kedua di kerusi-kerusi yang mana BN dan PH tewas sebelum ini. Kerusi-kerusi dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bersama PH dalam PRU14 juga akan ada sedikit ruang untuk perbincangan.

“Boleh dikatakan fokus perbincangan ketika ini adalah 15 kerusi dimenangi Pas serta enam diperolehi Bersatu. Kami bersama BN akan buat penilaian secara menyeluruh dan melihat semula jika tidak cukup bilangan kerusi untuk sesebuah parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×