Tutup tempahan menjahit seminggu sebelum Aidilfitri

Tutup tempahan menjahit seminggu sebelum Aidilfitri

UMI UMAIRAH Lokman menyiapkan tempahan baju raya pelanggan di kedainya di Ayer Molek, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang tukang jahit di Ayer Molek di sini, masih mengambil tempahan baju raya pada saat-saat akhir meskipun rata-rata pengusaha lain sudah menutupnya sebelum Ramadan bermula.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, pemilik Sir Come Collections Tailor, Umi Umairah Lokman, 27, berkata, dia berusaha sebaik mungkin meneruskan tradisi dan amanah arwah bapa yang tidak mahu mengecewakan pelanggan.

Katanya, tempahan hanya ditutup seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri memandangkan dengan kekuatan 11 tukang jahit berpengalaman, pihaknya yakin tidak berdepan masalah menyiapkan baju raya pelanggan sebelum tibanya Syawal.

“Saya warisi perniagaan ini daripada ayah sejak 2017. Arwah selalu berpesan jangan kecewakan pelanggan yang datang pada saat-saat akhir. Mungkin mereka tidak berkemampuan sebelum Ramadan dan hanya berkemampuan untuk beli kain dan tempah apabila Syawal kian menjelma.

“Apa yang penting adalah penyusunan tugas kepada 11 tukang jahit yang berkhidmat dengan saya. Ada antara mereka merupakan suri rumah yang bekerja secara sambilan untuk mencari duit raya.

“Kita lakukan yang terbaik untuk penuhi hajat pelanggan. Walau apa sekalipun, sama ada sambut raya awal atau tidak tahun ini, baju-baju pelanggan disiapkan mengikut tarikh yang sudah dipersetujui,” katanya ketika ditemui.

Menurut Umi Umairah, antara tempahan yang diterima adalah baju Melayu, kurta, kemeja batik, baju kurung dan baju kurung Pahang dengan upah antara RM75 hingga RM160 sepasang.

Menceritakan pengalamannya sebagai tukang jahit ketika berdepan situasi ‘raya terkejut’ pada tahun lalu, Umi Umairah berkata, dia tidak berdepan masalah kerana semua tempahan telah diserahkan kepada pelanggan beberapa hari sebelum lebaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×