SEREMBAN: Satu rakaman video tular yang memaparkan bacaan al-Quran oleh qari cilik, Ahmad Azfar Azraie, 11, dalam satu program pertandingan di Algeria sehingga menyentuh hati juri pertandingan itu, menarik perhatian ramai.
Berkongsi kisah itu, bapa kanak-kanak terbabit yang juga qari terkenal, Azraie Abdul Hak, 43, berkata, video berkenaan adalah ketika anaknya itu menyertai Musabaqah Tilawah Al-Quran Mazamir Dawud Peringkat Antarabangsa di Algeria, malah menjuarainya bagi kategori bawah 15 tahun.
Katanya, ketua juri pertandingan itu, Sheikh Ahmad Isa Al-Ma’syarawi yang juga tokoh qari dari Mesir memberitahu hatinya tersentuh dengan alunan bacaan al-Quran oleh Ahmad Azfar.
“Saya ada di situ dan ayat al-Quran yang dibaca Ahmad Azfar itu memang menggambarkan peristiwa dan apa yang berlaku pada hari akhirat dan padang mahsyar. Juri-juri begitu menjiwai alunan taranum bacaan al-Quran, dia dengar bacaan Ahmad Azfar seolah-olah berada di sana dan nampak peristiwa di sana.
“Ketua juri, Sheikh Ahmad Isa Al-Ma’syarawi yang merupakan tokoh qari dari Mesir dan diiktiraf dunia mahu dan mendoakan supaya Ahmad Azhar dapat memberi manfaat kepada ummah supaya rakan-rakan lain dapat mencontohinya, Alhamdulillah,” katanya.
Azraie berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Pelancaran Ihtifal Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, di sini kelmarin.
Ditanya mengenai video tular mengenai anaknya itu, beliau yang merupakan pemenang tempat kedua Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan 2018 berpandangan, perkara itu sebagai sesuatu yang positif dan boleh menjadi inspirasi kepada orang lain.
“Video itu dimuat naik pihak luar, bagi saya ini suatu penghargaan dan mereka nampak ia boleh jadi inspirasi untuk sama-sama mereka contohi. Saya rasa ini positif, untuk menanamkan minat kepada anak-anak kita yang lain supaya sama-sama menceburi bidang al-Quran terutama taranum,” katanya yang merupakan guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang, Melaka.
Sementara itu, Ahmad Azfar mengakui terkejut apabila video mengenainya itu tular dan menerima perhatian ramai berkata, dia mahu terus menambahkan keilmuannya dalam bidang taranum al-Quran.
Mazamir Daud bermaksud suara lantunan indah Nabi Daud yang merupakan acara tahunan dan turut disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen satelit, Al-Shorouk.
Ia ke udara sejak 2014 sebagai program mingguan sebelum dijadikan acara pertandingan bertaraf antarabangsa untuk remaja dari seluruh dunia.
Selain pertandingan itu, Ahmad Azfar turut berjaya memenangi tempat kedua pada program tilawah al-Quran di Qatar pada 19 Mac tahun lalu. – UTUSAN











