KUALA TERENGGANU: Sebanyak 182 kompuan bernilai RM19,450 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kepada peniaga di bazar Ramadan yang melanggar pelbagai kesalahan sejak awal Ramadan lalu.
Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, notis kesalahan itu dikeluarkan selepas peniaga terbabit dikesan gagal mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Katanya, antara kesalahan itu adalah menggaji pengendali tiada latihan dan suntikan antitifoid, pengendali makanan tiada suntikan dan latihan pengendali makanan, tidak memakai apron atau pakaian pelindung serta tidak mengamalkan kebersihan diri.
“Daripada jumlah itu, Kemaman merekodkan kompaun tertinggi iaitu 64 notis kesalahan diikuti Kuala Terengganu (39), Dungun (38), Besut (13), Hulu Terengganu (sembilan), Setiu dan Marang masing-masing tujuh notis manakala lima notis lagi di Kuala Nerus,” katanya semalam.
Pada tahun ini, terdapat 3,941 petak niaga di 61 lokasi bazar Ramadan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Terengganu melibatkan seramai 7,914 pengendali makanan.
Dr. Kasemani berkata, seramai 366 anggota penguat kuasa terlibat dalam pemantauan dan penguatkuasaan peraturan di semua bazar Ramadan berdaftar serta tidak berdaftar sepanjang Ramadan kali ini.
Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai membuat aduan terus kepada JKNT sekiranya ada membeli makanan basi, tidak masak sempurna dan berbau busuk supaya siasatan serta tindakan lanjut dapat diambil. – UTUSAN











