KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyerap 12,800 doktor kontrak yang tamat latihan klinikal (housemanship) ke jawatan tetap secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bermula dengan 4,300 pegawai kontrak akan diserapkan ke jawatan tetap tahun ini dan bakinya akan menyusul sehingga semuanya selesai menjelang 2025.
Menurut beliau, keputusan tersebut membabitkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM1.7 bilion.
“Ketika kerajaan menyerap doktor kontrak sedia ada ini, pada masa sama Kementerian Kesihatan akan terus membuat lantikan kontrak bagi tujuan housemanship yang turut memberi implikasi kepada peningkatan kos emolumen kementerian saban tahun,” kata Perdana Menteri semasa Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.
Anwar menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengenai jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan jika semua dilantik secara tetap.
Dalam isu sama, kata Anwar, kerajaan tidak mampu menyelesaikan semua 20,000 pegawai perubatan kontrak yang sedang mogok kerana perlu peruntukan besar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan emolumen RM19.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan iaitu peningkatan RM3 bilion berbanding 2022.
“RM3 bilion pertambahan, termasuk RM1.2 bilion bagi kenaikan gaji tahunan, selain peruntukan tambahan bagi keperluan pegawai kontrak RM600 juta. Lantikan jawatan tetap daripada pegawai kontrak bernilai RM1.1 bilion.
“Jadi, kalau tahun ini kita selesaikan semuanya, kerajaan tidak mampu. Namun, kerajaan beri perhatian isu doktor kontrak. Tidak ada sama sekali niat untuk meremehkan kerana doktor kontrak berkhidmat dengan baik, berkorban masa dan tenaga, selain negara memang memerlukan mereka,” katanya. – UTUSAN











