KERAJAAN perlu memberi pertimbangan untuk mengekalkan hukuman mati mandatori khusus bagi penjenayah yang melakukan kesalahan jenayah berat dan kejam dalam negara kita seperti aktiviti keganasan, pengedaran dadah serta membunuh. Pengekalan hukuman mati secara mandatori ini penting bukan sahaja bagi mengekang penjenayah daripada melakukan kegiatan jenayah berat dan kejam tapi juga untuk memberi keadilan yang sepatutnya kepada mangsa jenayah berat dan kejam serta ahli keluarga mangsa selaras dengan prinsip setiap nyawa harus dibalas dengan nyawa.
Jenayah berat dan kejam ini tidak boleh dipandang ringan kerana impak serius yang dibawanya kepada diri mangsa, ahli keluarga mangsa serta masyarakat dan negara kita secara keseluruhannya. Tidak boleh wujud sebarang kompromi dalam perkara ini.
Pada 9 Jun 2022, kerajaan terdahulu mengumumkan bahawa mereka telah bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini serta menggantikannya dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah. Terkini, jemaah menteri dalam mesyuarat mereka baru-baru ini pula bersetuju dengan beberapa dasar baharu dalam usaha pemansuhan hukuman mati mandatori.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara dasar itu ialah tiada lagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori, sebaliknya hukuman alternatif baharu adalah pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Selain itu, pemenjaraan sepanjang hayat sebagai satu hukuman dimansuhkan sepenuhnya dalam semua undang-undang, hukuman mati dimansuhkan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak menyebabkan kematian melainkan tiga kesalahan, iaitu Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).
Kerajaan harus memastikan pematuhan undang-undang sentiasa berada pada tahap maksimum oleh semua pihak dalam negara kita. Salah satu cara terbaik bagi pematuhan undang-undang ini ialah melalui hukuman berat yang dikenakan kepada penjenayah terlibat. Jika hukuman yang disediakan untuk setiap perbuatan jenayah berat dan kejam adalah kecil ataupun ringan, ia sudah pasti tidak akan membawa sebarang impak untuk menghentikan kegiatan jenayah. Hukuman kecil dan ringan terhadap kesalahan jenayah berat dan kejam juga sudah pasti tidak akan membawa keadilan sewajarnya kepada mangsa serta ahli keluarga mereka.
PERANG
Oleh demikian adalah penting supaya kerajaan menilai semula cadangan yang telah dibuat dan diambil terhadap isu pemansuhan hukuman mati mandatori ini dalam negara kita khususnya kepada kesalahan jenayah berat dan kejam. Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.”
Melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini, sistem perundangan negara kita dibenarkan untuk melaksanakan sebarang jenis hukuman termasuk hukuman mati ke atas kesalahan-kesalahan jenayah tertentu. Malaysia ketika ini memperuntukkan hukuman mati melibatkan 32 kesalahan di bawah lapan akta berbeza.
Daripada 32 kesalahan ini, 11 kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori, iaitu satu-satunya hukuman yang boleh dan wajib dikenakan ke atas individu yang didapati bersalah. Antara jenis kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati ialah melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, membunuh, mengedar dadah, menculik dan terlibat dalam aktiviti keganasan.
Seksyen 277 Kanun Acara Jenayah (CPC) (Akta 593) menyatakan, apabila individu dijatuhkan hukuman mati, hukuman harus mengarahkan dia digantung di leher sehingga mati tetapi tidak menyatakan tempat dan masa hukuman patut dijalankan. Bagaimanapun ada dua pengecualian. Seksyen 275 CPC (Akta 593) dan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan kepada perempuan mengandung dan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun. Sebagai gantinya, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup.
Sama ada mandatori ataupun tidak, cadangan pemansuhan hukuman mati ini sudah lama dibuat bukan sahaja dalam negara kita malah hampir di semua negara dalam dunia. Terdapat banyak perdebatan panas mengenai cadangan ini.
Ada pihak yang menyokong pemansuhannya dan ada pihak pula yang membantah. Pihak yang menyokong pemansuhan hukuman mati berpendapat, hukuman mati tidak menghentikan kadar jenayah. Mereka juga berpandangan, keputusan hidup mati seseorang manusia tidak seharus diberikan kepada pihak pemerintah serta risiko ketidakadilan yang boleh berlaku dalam proses pengadilan terhadap diri pesalah.
Mereka yang tidak menyokong pula berpandangan, hukuman mati dilihat penting dalam mengawal kadar jenayah yang berlaku dalam negara. Ia juga penting untuk mengawal pematuhan terhadap undang-undang, memberi keadilan sewajarnya kepada diri mangsa serta ahli keluarga mangsa jenayah berat dan kejam yang terlibat, dan menghalang pesalah daripada terus melakukan kegiatan jenayah yang berat dan kejam kepada orang lain.
Oleh itu, adalah penting supaya kerajaan mengkaji usaha pemansuhan hukuman mati mandatori terutama untuk semua kes melibatkan jenayah berat dan kejam dengan lebih teliti sebelum mengambil sebarang keputusan akhir mengenainya. Kerajaan disaran mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori ini dengan mendapatkan pendapat dan pandangan daripada pihak-pihak berkepakaran dalam bidang undang-undang dan prosedur jenayah seperti hakim, peguam, ahli akademik, bijak pandai agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu berkepentingan seperti ahli keluarga mangsa jenayah berat dan kejam. – UTUSAN
DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










