KUALA LUMPUR: Kementerian dan agensi-agensi kerajaan wajar menjalankan amanah dengan baik dalam pengurusan peruntukan masing-masing menerusi Belanjawan 2023 yang telah dibentang baru-baru ini.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan berkata, beliau khuatir sekiranya mesej pemahaman tadbir urus yang baik tidak sampai, perbincangan keputusan membangunkan keperluan kritikal bagi setiap kawasan bukan lagi semata-mata mengikut budi bicara ahli Parlimen.
“Contohnya, di Parlimen Sungai Buloh apabila satu aduan berkenaan isu trafik atau penyelenggaraan jalan raya telah dibuat, seringkali halangan pertama adalah dalam rujukan kepada bidang kuasa dahulu.
“Dalam Parlimen Sungai Buloh ada empat pihak berkuasa tempatan dan tiga pejabat daerah, belum termasuk lagi persempadanan dengan kawasan Parlimen lain atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab.
“Tempoh respon setelah mengenal pasti bidang kuasa agensi kadangkala boleh mengakibatkan kesulitan kepada rakyat. Namun, saya percaya komitmen kerjasama dapat dilakukan secara optimum, selagi komunikasi antara agensi-agensi kerajaan dan ahli politik lebih terbuka dengan azam yang sama iaitu telus dalam menjalankan amanat demi rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.
Mengulas lanjut, katanya, penaiktarafan sistem tol bertaraf dunia adalah wajar dan bukan lagi sistem yang memanfaatkan kroni sama ada anak sendiri atau pun menantu.
Katanya, jumlah kenderaan yang kian bertambah hanya akan menyumbang kepada kesesakan jalan raya seperti jaringan jalan raya yang tidak lancar bersama sistem tol gate tidak mampan.
“Saya pernah bangkitkan mengenai penyelenggaraan jalan raya yang sering menjadi isu utama di Parlimen Sungai Buloh, ia melibatkan keselamatan pengguna motosikal kerana jalan yang tidak diturap, atau diselenggara dengan baik boleh mengakibatkan kecelakaan,” katanya. – UTUSAN










