Orang ramai bimbang mohon pinjaman bank

Orang ramai bimbang mohon pinjaman bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permohonan pin­jaman daripada institu­si kewangan merosot sejak li­ma bulan lalu didorong kos pem­bia­­yaan yang lebih tinggi dan kebimbangan mengenai keti­dak­­tentuan ekonomi nega­ra tahun ini.

Perangkaan laporan Bank Ne­gara Malaysia (BNM) menunjuk­kan nilai permohonan pinjaman keseluruhan untuk pelbagai pem­biayaan merosot kepada RM85 bilion pada Januari tahun ini berbanding hampir RM120 bilion pada September lalu, penurunan hampir 30 peratus.

Permohonan pinjaman bagi pem­belian rumah kediaman su­sut daripada RM35 bilion pa­­da September 2022 kepada RM26.6 bilion untuk bulan perta­ma tahun ini, disebabkan kos pembia­yaan yang tinggi selaras kenai­kan Kadar Dasar Semalaman (OPR) .

Aliran penurunan sama dilihat dalam pembelian harta bukan kediaman yang menyusut ke­pada RM8.1 bilion berban­ding RM11.5 bilion pada September la­­lu manakala bagi modal kerja ia menurun kepada RM15.4 bilion pada Januari 2023 berbanding RM28.5 bilion lima bulan lalu.

Bank pusat telah menaikkan OPR sebanyak empat kali sejak Mei lalu kepada 2.75 peratus daripada 1.75 peratus bagi mengekang inflasi. Bagaimanapun peningkatan kadar faedah menyebabkan kos pinjaman naik dan mendorong orang ramai membatalkan pembelian besar atau big ticket items.

Unjuran kelembapan eko­nomi juga menyebabkan ma­syarakat menunda pembelian besar bagi mengelak terjebak dalam hutang besar jika ekonomi tidak stabil.

Penganalisis CGS-CIMB, Winson Ng berkata, permohonan pinjaman bank seperti pinjaman perumahan, kad kredit dan pinjaman peribadi susut sejak tiga bulan lalu pada kadar dua angka.

Katanya, pertumbuhan pinjaman isi rumah pula menyederhana daripada 5.9 peratus tahun ke tahun pada 22 Di­sember 2022 kepada 5.6 peratus pada akhir 23 Januari lalu.

“Momentum gadai janji kediaman juga berkurangan sedikit daripada 6.9 peratus kepada 6.8 peratus,” katanya sambil menambah hanya pinjaman kereta berkembang 7.8 peratus berbanding 7.6 peratus dalam tempoh sama.

Seorang lagi penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, Malaysia berada dalam keadaan ekonomi yang dipanggil peringkat ragu-ragu (doubtful stage) dalam pusingan ekonomi.

“Selain itu, sekiranya OPR dinaikkan Khamis ini, kadar permohonan pinjaman akan terus menurun,” katanya sambil menegaskan pihak bank juga mengambil sikap tunggu dan lihat adakah pasaran semakin baik ataupun sebaliknya.

Menurut beliau, ini kerana ekonomi negara berkembang dalam setahun penuh 2022 namun mencatat penurunan pada suku keempat 2022.

“Justeru, terdapat perdebatan adakah ekonomi negara mampu berkembang tahun ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai jangka masa pusingan ekonomi di pe­ringkat ragu-ragu akan ber­akhir, beliau berkata, keadaan ini kebiasaannya berlarutan selama setahun.

“Semuanya bergantung kepada sentimen pasaran dan keyakinan pengguna. Namun, ketika kegawatan ekonomi negara semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, negara berada dalam peringkat ragu-ragu selama empat tahun sebelum terus memuncak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×