Bahaya bibit ekstremisme mula berputik

Bahaya bibit ekstremisme mula berputik

PDRM memberi jaminan sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam diambil tindakan tegas tanpa kompromi. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDEDAHAN mengejutkan Bahagian Memerangi Keganasan Siber, Nordic Counter-Terrorism Network (NCTN) mengenai pelancaran platform media kumpulan Islamic State (IS) bernama Pusat Media Al Malaka melalui web sesawang gelap (dark web) di negara ini menggusarkan seluruh rakyat yang cintakan keamanan. Pendedahan seterusnya bahawa kumpulan ini mempunyai hubungan dengan rangkaian media IS di Indonesia dan Filipina dan difahamkan menyokong secara langsung ‘parti politik dan organisasi radikal’ di negara ini menggugat kestabilan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam maklum balas segera, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan dan terus memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial di negara ini sebagai usaha meraih sokongan kepada kumpulan yang dikaitkan IS. Jaminan PDRM berdasarkan situasi semasa, tahap keselamatan negara adalah terkawal. Pada masa sama, PDRM juga komited dalam memastikan sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat, memberi kelegaan.

Amaran sama diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa aktiviti sebegini boleh menggugat undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan negara dan akan ditangani dengan tegas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di Jabatan Perdana Menteri sendiri melihat kecenderungan bahaya yang wujud sejak kebelakangan ini dalam kalangan parti politik yang menggunakan ideologi radikal untuk menggugat kestabilan sekali gus menggulingkan kerajaan perpaduan di atas dasar bahawa kerajaan sekarang tidak bersifat Islamik, dipenuhi golongan liberal dan sekular. Apabila seorang pemimpin tinggi parti politik sendiri kembali menyuburkan ideologi radikal dengan menyebarkan mesej-mesej berbaur ekstremisme, maka sudah pastilah ahli dan penyokongnya akan lebih terdorong untuk berfikiran dan berkelakuan radikal selari dengan matlamat kumpulan IS.

Sindiran dan kenyataan seperti gagasan Malaysia Madani tidak berasaskan acuan Allah dan Rasulullah, dipengaruhi oleh konsep masyarakat sivil yang dibawa oleh mereka yang tidak beriman seperti Thomas Paine, John Locke, Jean-Jacques Rousseau, Montesquieu, Adam Smith, Karl Marx dan lain-lain serta akan gagal adalah bibit-bibit ekstremisme. Walaupun tidak dinyatakan secara terang-terangan tetapi kefahaman ahli dan penyokong parti terbabit mahupun masyarakat umum, khususnya mereka yang berpendidikan rendah adalah tidak menjadi kesalahan malah mungkin menjadi kewajipan untuk menjatuhkan kerajaan yang berpegang kepada gagasan yang bercanggah dengan ajaran Allah dan Rasulullah.

PERANG

Selaran keras ke atas gagasan Malaysia Madani ini juga akan memberanikan orang ramai untuk menentang Yang di-Pertuan Agong kerana Seri Paduka dalam titahnya menghargai pengenalan inisiatif negara madani dan berharap agar prinsip-prinsipnya diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara.

Samalah dengan pengumuman pemimpin parti politik tertentu bahawa kerajaan perpaduan hari ini akan tumbang dalam masa terdekat yang bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya ahli-ahli politik mengetepikan perbezaan dan bersatu padu demi kepentingan rakyat dan negara serta supaya tidak berlaku lagi pertukaran kerajaan. Lebih mutakhir, unsur penentangan kepada pemerintah ini malah berlaku dengan mempertikaikan secara terbuka larangan majlis agama Islam negeri ke atas semua ahli politik daripada memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di sebuah negeri.

Walaupun dinyatakan dengan jelas bahawa larangan tersebut dibuat ekoran sultan negeri berkenaan dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa, pemimpin parti politik terbabit boleh menyatakan ia bukan satu kesalahan dan beliau sendiri akan tetap melakukannya. Para pemimpin parti itu juga secara terbuka mempertahankan pemaparan imej ekstrem yang tertonjol di dalam perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) yang melibatkan para peserta lengkap berpakaian perang membawa replika senjata seperti pedang dan lembing seolah-olah menunjukkan kesediaan untuk berperang.

Lebih mutakhir, kerajaan perpaduan diserang hebat atas insiden-insiden seperti tayangan filem Mentega Terbang dan penganjuran konsert Blackpink, seolah-olah kerajaan perpaduan ini tidak peka kepada sensitiviti umat Islam dan tidak mampu menjaga martabat agama Islam sedangkan insiden-insiden ini bermula pada zaman kerajaan sebelum ini lagi.

Kesemua perkara yang berlaku ini jika tidak dibendung dengan segera akan memungkinkan imej ciptaan kumpulan IS yang memaparkan Menara Berkembar Petronas serta bendera IS berkibar di puncak bangunan dengan jet pejuang sedang terbakar di udara berserta kapsyen tertera tulisan ‘Hari Penaklukan Segera Tiba’ boleh menjadi realiti.

J-Kom menghargai ketegasan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara. Kami di J-Kom juga akan meningkatkan usaha bagi memastikan ideologi radikal dan aktiviti ekstrem yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam tidak akan mampu merebak. – UTUSAN

DATUK Dr. Mohammad Agus Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di Jabatan Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×