365 juta SMS lucah, tipu, judi disekat - Utusan Malaysia

365 juta SMS lucah, tipu, judi disekat

Zulkarnain Mohd. Yasin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 365 juta mesej pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi elemen terlarang dan meragukan disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh dua tahun sejak 2021 sehingga tahun lalu.

Antara punca disekat seper­ti mempunyai elemen lucah, peni­puan, pinjaman tidak wujud dan perjudian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC, Zulkarnain Mohd. Yasin berkata, sekatan kandungan dibuat di peringkat pembekal platform dan juga melibatkan syarikat perkhidmatan telekomunikasi.

Menurut beliau, kaedah yang digunakan syarikat telekomunikasi ialah dengan mengaktifkan ciri-ciri penapis ‘antispam’ pada rangkaian mereka termasuk ‘Keyword Blocking/Filtering’ dan ‘Threshold Blocking’.

“Sebagai contoh, jika terdapat perkataan berunsur perjudian seperti ‘jackpot’ atau ‘bantuan’ dikesan sistem berkenaan SMS itu akan disekat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kata Zulkarnain, menyedari tindakan yang diambil pihak berkuasa, penjenayah telah mengubah modus operandi dengan menghantar SMS yang mengandungi pautan yang te­lah diubah dan dipalsukan bagi pengguna klik kepada pautan yang dihantar.

“Sebagai contoh, jika ketika ini sohor dengan isu mengenai bantuan kerajaan, penjenayah akan mencipta satu pautan de­ngan kata kunci ‘bantuan’ tetapi ejaan perkataan itu diubah de­ngan ‘bantuan’ bagi mengaburi pengguna dan pihak berkuasa.

PAUTAN

“Pautan yang disebarkan itu juga mengandungi nombor talian mudah alih atau talian tetap untuk dihubungi bagi menyakinkan pengguna sebelum mereka memasukkan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor akaun perbankan dan lain-lain,” katanya.

Jelasnya, antara taktik lain ialah menghantar pautan yang menggunakan ‘template’ me­sej seolah-olah sama dihantar oleh agensi atau pihak berkaitan wal­hal maklumat yang disebarkan adalah palsu.

Jelas beliau, ada kes yang di­laporkan, ia sememangnya nombor sebenar agensi atau pihak terlibat, namun ia sebenarnya telah digodam penjenayah.

“Dalam kejadian sebegini, pengguna harus memainkan peranan dengan menyemak terlebih dahulu kesahihan berkaitan panggilan atau SMS yang diterima dan jangan meletakkan keperca­yaan sepenuhnya bagi mengelakkan menjadi mang­sa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zul­karnain berkata, pe­ranan sebenar adalah daripada individu sendiri bagi mengelakkan diri terperangkap menjadi mangsa.

“Harus diingatkan bahawa penjenayah ini bijak mengambil peluang berdasarkan keadaan dan mereka tidak fikir tentang apa jua keadaan mangsa.

“Terutamanya melibatkan penipuan berkaitan bantuan-bantuan kononnya dari kerajaan, jangan sewenangnya klik kepada hantaran yang dikongsi dan perlu teliti dalam apa jua tindakan,” katanya.

Pada 19 Februari lalu, Ming­guan Malaysia melaporkan, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini menjadi sasaran syarikat pemberi pinjaman wang yang mendakwa lesen dikenali sebagai Kredit Komuniti untuk pinjaman mudah tanpa ansuran bulanan.

Kebanyakan syarikat pinjaman tersebut dikesan menggunakan nama yang mempu­nyai unsur islamik sebelum giat mempromosi pinjaman tersebut dalam media sosial termasuk SMS.

Dalam pada itu laporan Utusan Malaysia, pada 20 Februari lalu juga mendedahkan puluhan ribu mangsa rugi ditipu sindiket pinjaman wang dan ang­ka ber­kenaan dikhuatiri akan bertambah.

Kebimbangan itu berdasarkan aduan diterima Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) yang menerima antara lima sehingga 15 laporan sehari oleh mangsa.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×