Terengganu miliki 81 pelajar genius - Utusan Malaysia

Terengganu miliki 81 pelajar genius

ZAMRI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 81 pelajar pintar anak negeri bakal dan sedang mengikuti pengajian di Pusat Genius@Pintar (PGP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Kolej Genius Insan (KGI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dalam tempoh 2013 hingga kini.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Keluarga Pelajar Pintar Terengganu (Gen-T), Zamri Mohamad berkata, daripada jumlah itu, lima pelajar menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019 dan 2018 manakala 65 lagi masih menuntut di kedua-dua kolej berkenaan.

Katanya, baki 19 orang lagi bakal mendaftarkan diri sebagai pelajar Asas 1 pada sesi kemasukan 2021, bulan depan.

“Kami sangat berbangga kerana tawaran kemasukan anak negeri ke dua institusi berprestij tersebut pada tahun ini mencatatkan jumlah tertinggi.

“Kesemua mereka diiktiraf sebagai genius selepas berjaya melepasi ujian kelayakan masuk yang ketat oleh pihak kolej merangkumi aspek pengaplikasian ilmu pengetahuan, ujian penaakulan, ujian kekuatan daya ingatan dan kecepatan minda memproses,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Zamri bagaimanapun meluahkan kebimbangan berikutan kadar penolakan tawaran kemasukan ke PGP dan KGI yang tinggi dalam kalangan pelajar pintar di negeri ini berikutan bebanan kewangan.

Katanya, kos pembelajaran tahunan mencecah RM2,000 setahun termasuk yuran dan makan di samping perbelanjaan lain bagi buku-buku rujukan serta komputer riba menyebabkan rata-rata ibu bapa terutama dalam kalangan B40 lebih selesa menghantar anak mereka ke sekolah berasrama penuh (SBP) berdekatan.

Menurutnya, berdasarkan data tahun lalu, lapan pelajar pintar ditawarkan tempat ke dua institusi tersebut, namun empat daripadanya menolak tawaran diberikan.

“Faktor lain yang dikenal pasti mempengaruhi penolakan adalah kerana kurang kefahaman dalam kalangan ibu bapa berhubung sistem pembelajaran di PGP dan KGI kerana segelintir berpendapat proses pembelajaran serta sukatan mata pelajaran sama dengan SBP lain.

“Hakikatnya pembelajaran anak-anak di kedua-dua kolej itu bersesuaian dengan kapasiti minda (IQ) mereka yang diiktiraf sebagai pintar dengan seawal usia 13 tahun mereka mempelajari sukatan pelajaran setaraf tingkatan empat seperti matematik tambahan, fizik, kimia dan biologi, manakala pada usia 15 tahun pula mereka mula menjalankan penyelidikan.” katanya.

Katanya, sebagai institusi yang dibangunkan khusus untuk menggilap potensi anak-anak genius, PGP dan KGI adalah institusi terbaik untuk anak-anak yang diiktiraf pintar.

Terdahulu, katanya, penubuhan Gen-T oleh kalangan ibu bapa bertujuan memastikan kebajikan anak-anak pintar terus disokong dan Terengganu adalah satu-satunya negeri yang mempunyai persatuan seumpama itu.

“Saya berharap ada usaha yang lebih mampan dan bersifat jangka panjang daripada agensi berkaitan bagi mengelakkan berlakunya penghijrahan keluar bakat-bakat ini. Jika keadaan itu berlaku tentunya menjadi satu kerugian kepada negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×