Pegawai khas ada ‘kuasa besar’ ubah nasib rakyat

Pegawai khas ada ‘kuasa besar’ ubah nasib rakyat

PEGAWAI khas sepatutnya memberi peluang lebih kepada rakyat kelas bawahan terutama golongan miskin tegar untuk bertemu terus dengan menteri, ahli Parlimen dan ahli politik bagi meluahkan isi hati dan masalah dihadapi. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEGAWAI-PEGAWAI khas Perdana Menteri, para menteri dan ahli-ahli politik sebenarnya mempunyai ‘kuasa besar’ yang mampu membantu dan mengubah nasib rakyat. Ini kerana pegawai khas mempunyai kuasa untuk membawa, menolak dan menentukan siapa yang patut dan boleh bertemu dengan pemimpin mereka.

Ahli politik selalunya akan mendengar dan mendapatkan nasihat daripada pegawai khas mereka. Pegawai khas yang baik dan cergas dapat menentukan kejayaan ahli politik. Bagus nasihatnya, jauhlah pergi, jelik nasihatnya, kecundanglah dia. Semuanya terletak atas kebijaksanaan pegawai khas yang bertindak sebagai penasihat.

Berbalik kepada tujuan asal penulisan artikel ini, saya dengan merendah dirinya ingin menyeru supaya para pegawai khas dapat memberi lebih peluang kepada rakyat kelas bawahan terutamanya dalam kalangan miskin tegar dan kelas pekerja untuk bertemu terus dengan para menteri, ahli Parlimen dan ahli politik.

Berilah peluang kepada golongan ini untuk meluahkan segala isi hati dan menceritakan secara terperinci tentang masalah yang mereka alami hari demi hari. Jangan lagi kita biarkan entah siapa yang kononnya bertindak mewakili orang-orang miskin menjadi jurucakap mereka kerana percayalah bahawa golongan yang dilantik sebagai wakil ini tidak akan mengkongsikan kisah duka pahit golongan ini dengan jujur.

Tidak salah pun kalau kita pertemukan seorang pemandu lori hatta pekerja pembersihan di premis kementerian kepada pemimpin kita. Mereka juga adalah rakyat yang membayar cukai. Mereka juga harus dilihat sebagai sebahagian daripada keluarga Malaysia kerana mempunyai kad pengenalan dan identiti sebagai anak tempatan.

Jadikan sikap pertemukan orang kebanyakan dengan pemimpin kita ini sebagai rutin bulanan sehingga kata-kata ‘pemimpin berjiwa rakyat’ yang selama ini dicanangkan menjadi kenyataan dan dilaksanakan dengan baik. Bukan sekadar propaganda dan kata-kata retorik kosong.

Buktikan juga pada para pentohmah yang selama ini melecehkan pegawai-pegawai khas dengan dakwaan kononnya jawatan ini sekadar lantikan politik dan tidak ada makna. Tunjukkan pada mereka, meskipun ia adalah satu lantikan politik, namun mempunyai satu kuasa besar yang boleh mengubah kehidupan seseorang.

Pegawai khas turut mampu mempengaruhi penggubalan sesebuah undang-undang dan polisi. Cara ini juga dapat membuktikan kepada rakyat bahawa jawatan pegawai khas adalah penting untuk memastikan kelangsungan komunikasi antara pemimpin dan rakyat.

Saya tahu, ramai ahli perniagaan atau golongan elit lainnya gemar mencari dan berhubung dengan para pegawai khas kerana itu merupakan antara jalan untuk bertemu dengan ahli politik dan kaedah mudah bagi menyakinkan ahli politik tersebut bertujuan menerima saranan dan projek mereka. Tidak salah pun sebenarnya selagi mana ia tidak bersangkut-paut dengan sogokan wang ringgit.

KONTROVERSI

Namun, kalau boleh selepas ini, berilah peluang kepada peniaga kecil-kecilan tempatan terutama dari kawasan kampung atau mereka yang baru ingin memulakan perniagaan untuk mendapatkan sokongan, nasihat daripada ahli politik kita. Para pelajar sekolah, guru, penuntut universiti, pelajar tahfiz dan sebagainya juga perlu diberikan keutamaan kerana golongan ini adalah penentu masa hadapan negara selain sentiasa terpalit dengan pelbagai kontroversi.

BERTENGGEK

Kerja ini kedengaran ‘poyo’ tetapi inilah tanggungjawab sebenar jawatan kita. Kalau kita marah orang politik tidak buat kerja, maka kita yang selalu bertenggek dengan mereka inilah harus menasihati dan memimpin. Saya yakin, ahli politik melantik kita menjadi pegawai khas itu untuk tujuan seperti ini kerana bukan semua ahli politik boleh bertemu dengan setiap lapisan masyarakat. Mereka memerlukan orang-orang seperti kita dalam melincinkan urusan.

Gaji seorang pegawai khas pun memuaskan, lebih-lebih lagi melihatkan kelebihan-kelebihan yang mereka ada. Boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja tanpa mengira status seseorang. Boleh mempengaruhi orang lain bahkan mempunyai kelebihan-kelebihan yang tidak ada pada orang biasa.

Lalu, mengapakah kelebihan-kelebihan tersebut tidak digunakan secara maksimum?

Selain digunakan untuk membantu rakyat, kelebihan ini juga dapat menguntungkan kita dalam jangka masa panjang. Sebab itulah seorang pegawai khas harus mempunyai skil berkomunikasi dengan baik. Kalau sudah tidak bekerja sebagai pegawai khas pun, insya-Allah, hubungan dengan orang lain masih terjaga. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu-isu tempatan & antarabangsa. Juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Machang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×