Tiada kem dalam UMNO – Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Tiada kem dalam UMNO – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada kem dalam pemilihan UMNO kali ini seperti yang didakwa sesete­ngah pihak dan situasi seperti itu diharap dapat mengembalikan semula kelangsungan parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya pencalonan kali ini lebih memperlihatkan subur­nya demokrasi dalam parti dengan ramai yang menghantar borang pencalonan.

“Mana-mana calon yang me­ra­­sakan diri mereka layak untuk bertanding boleh hantar borang dan proses seterusnya untuk setiap pencalonan tersebut akan ditentukan pada 11 Mac dan 18 Mac.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Melihat kepada ramai ahli UMNO menghantar borang pencalonan, sekali gus turut diharap dapat mengembalikan survival UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut Ahmad Zahid, be­liau tidak nampak terdapat kem-kem dalam UMNO sebaliknya makin ramai mengemukakan borang pencalonan menjadi petanda demokrasi mula di­suburkan semula dalam parti.

“Ramai berminat untuk menyumbang bakti, tidak kira lama atau baharu, petanda baik buat UMNO,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang juga TImbalan Perdana Menteri.

KEM

Sebelum ini, terdapat beberapa dakwaan wujudnya kem dalam UMNO seperti kem propresiden, antipresiden dan kem bebas.
Barisan kem itu dikatakan bermula daripada peringkat Naib Presiden sehinggalah kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) yang menjadi penentu dalam setiap keputusan yang dibuat oleh parti, selain daripada ketetapan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Desas-desus kewujudan kem tersebut mulai panas susulan keputusan PAU 2022 yang menetapkan dua jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalannya yang kini disandang Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak dipertandingkan.

Setakat pukul 4 petang semalam, senarai nama calon Naib Presiden yang menghantar borang pencalonan ialah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Keempat-empat nama itu didakwa sebagai kem propresiden UMNO.

Datuk Seri Hasni Mohamad dan Datuk Seri Reezal Merican pula dikatakan tidak memihak kepada mana-mana kem dan mereka hanya mencuba nasib merebut jawatan Naib Presiden.

Dua lagi calon Naib Pre­siden iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dilihat hanya mempertahankan jawatan dengan tidak menyertai mana-mana kem manakala Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula kali pertama menawarkan diri.

SENARAI

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut memaklumkan yang setakat ini belum ada senarai pendek nama calon daripada Barisan Nasional (BN) untuk dipertaruhkan di enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Untuk PRN, kita sudah mula mengadakan perbinca­ngan di peringkat nasional dan perbincangan itu kita telah mula mengadakan di peringkat bahagian dan negeri,” ujarnya ringkas.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengulas mengenai rungutan beberapa ahli parlimen pembangkang mengenai peruntukan yang lebih kecil diperoleh mereka berbanding ahli parlimen kerajaan.

“Jangan jadikan perkara ini sebagai isu atau polemik kerana ahli parlimen kerajaan perpaduan juga hanya mendapat sedikit, yang kita pun sangat kurang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian susulan kenyataan beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengkritik Belanjawan 2023 kerana didakwa tidak menyediakan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN